Kampung Orang Asli Gedung Siam Kini ‘Bercahaya’
Oleh Asmahanim Amir
Pix Oleh Fakulti Ekonomi Dan Pengurusan
BANGI, 25 Julai 2019 – Kehidupan penduduk Kampung Orang Asli di Kampung Gedung Siam, Pahang kini makin ‘bercahaya’ apabila menerima 10 lampu jalan panel solar yang disumbangkan oleh Cipta Wawasan Maju Engineering Sdn. Bhd (CWM) melalui tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Lampu jalan panel solar itu dipasang oleh kakitangan teknikal CWM, kakitangan pembekal lampu solar, penyelidik dan pelajar UKM serta dibantu oleh penduduk kampung tersebut.
Kira-kira 30 penduduk Orang Asli datang bergilir-gilir membantu dengan menggali lubang, membancuh simen, belajar tentang pendawaian dan bateri unit panel solar dan mengangkat panel solar untuk didirikan.
Ketua Projek, Prof Madya Dr Doris Padmini S. Selvaratnam memberitahu, bahawa lampu solar yang sensitif terhadap cahaya dan voltan mengambil masa tiga jam untuk dicas sepenuhnya dan boleh menghasilkan cahaya selama 12 jam secara berterusan.
“Ia mempunyai kemampuan untuk mengecas cahaya minimum apabila tiada cahaya matahari. Ini penting kerana musim hujan di Pahang akan bermula dari bulan Oktober hingga Januari setiap tahun,” katanya.
Kini, anak-anak yang pergi ke sekolah boleh berjalan di laluan yang terang dan tidak perlu risau dengan kehadiran kenderaan yang melalui jalan tersebut. Semua penduduk kampung dapat melalui jalan yang terang untuk pergi ke kedai, ke kebun getah atau kelapa sawit.
Malah, lampu-lampu yang dipasang itu lebih terang daripada lampu rumah mereka dan ia dapat menjadikan tempat untuk berkumpul dan beraktiviti pada waktu malam.
Prof Madya Dr Doris Padmini berharap, lebih banyak syarikat akan tampil ke hadapan untuk membantu masyarakat Orang Asli.
“Terdapat banyak inisiatif mudah namun berkesan yang boleh dilakukan menerusi penglibatan pelbagai pihak untuk membantu komuniti. Kami di FEP (Fakulti Ekonomi dan Pengurusan) UKM mengalu-alukan sumbangan dan penyertaan anda dalam pembangunan komuniti secara umum dan khusus untuk kesejahteraan masyarakat Orang Asli,” katanya.