Kamus dan Etnisiti dalam Perkamusan Melayu
Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 22 Julai 2021- Perkamusan Melayu dipengaruhi oleh pelbagai etnisiti di Nusantara sejak 500 tahun lalu dan tidak bergantung pada suku kaum yang tertentu, kata Prof. Emeritus Dr. James T. Collins, dalam syarahannya yang bertajuk ‘Kamus dan Etnisiti: Sains dan Masyarakat’, semalam.
Tambahnya, penelitian bahasa juga tidak dapat dipisahkan daripada sains kerana pengumpulan data memerlukan analisis empirikal.
“Setiap usaha linguistik harus dilengkapi dengan analisis, observasi, partisipasi dan interaksi dengan komuniti penutur.
“Bagi kamus Dewan Perdana Abad ke-20, metodologi penyusunan kamus merujuk kepada data dari pelbagai sumber seperti korpus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Malay Concordance Project dan web serta ‘focus group’ yang melibatkan 45 orang pakar bidang untuk menyemak dan menambah entri.
“Manakala, di dalam usaha penyusunan kamus Online Multimedia Learners Dictionary of Malay, kami putuskan bahawa Google menjadi sumber utama kerana datanya yang sangat banyak. Walaubagaimanapun, data tersebut harus ditapis dan dinilai oleh penutur atau pakar bidang,” kata beliau.
Beliau yang berasal dari Chicago, Amerika Syarikat merupakan sarjana tersohor dalam bidang Dialektologi Melayu yang melibatkan 300 juta penutur Bahasa Melayu di Nusantara. Beliau pernah berkhidmat di University of Hawaii, Northern Illinois University , Universitas Pattimura, Universitas Hasanuddin, dan seterusnya di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau telah menghasilkan 28 buah buku sendirian dan 10 buku suntingan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Penerbit UKM, dan beberapa penerbit terkenal di Indonesia, di Amerika Syarikat dan Australia.
Syarahan Profesor Antarabangsa Tersohor tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dato’ Dr. Abdul Wahab Mohammad.
Prof. Ir. Dato’ Dr. Abdul Wahab berkata, dapatan daripada kajian yang dijalankan oleh Prof. James T. Collins mengenai dialek-dialek Bahasa Melayu menunjukkan bahawa manusia alam Melayu membina kesepaduan selama berabad melalui dialek dan bukannya bahasa baku.
“Sebaliknya, bahasa baku yang terbina tidak sampai satu abad hanya diguna secara formal dalam ucapan rasmi, surat khabar atau siaran radio dan TV.
“Hasil kajian ini sangat relevan kepada KITA-UKM, yang membuktikan bahawa Malaysia kini adalah sebuah masyarakat super-diversity atau sebuah masyarakat yang jelas menampilkan suatu bentuk ‘kepelbagaian rumit’.
“Perkembangan bahasa di Malaysia bergantung kepada dialek manusia tempatan dan asing yang menjadi landasan kepada sumber manusia dan dinamika pelbagai sektor ekonomi negara,” katanya.
Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri berkata syarahan ini memberi peluang keemasan kepada para hadirin untuk membina kefahaman ‘celik kamus’ atau kefahaman mengenai sosiologi pembinaan kamus (sociology of dictionary-making).
Menurut beliau, bicara ini mengupas secara serius mengenai pembinaan sesebuah kamus, yang bermula daripada tahap awal pengumpulan perkataan daripada pelbagai sumber ke beberapa tahap seterusnya sehingga akhirnya tersusun sebuah kamus yang kita gunakan.
“Saya berharap selepas syarahan ini setiap kali kita semua melihat kamus bukan hanya sebagai dokumen bisu tetapi sebagai sebuah dokumen hidup (living document) yang penuh dengan pelbagai cerita dan misteri dalam proses pembikinannya,” tambah beliau.