Karnival Jom Masuk FSK Beri Pendedahan Kepada Bakal Mahasiswa

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2016 – Karnival Jom Masuk FSK 2016 yang diadakan oleh Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, berjaya memberikan pendedahan yang mendalam berkenaan bidang pengajian yang ditawarkan di fakulti tersebut.

Demikian menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah OK Rahmat, semasa Majlis Perasmian Karnival Jom Masuk FSK 2016 di UKM, baru-baru ini

Menurutnya, kebanyakan pelajar masih kurang faham perbezaan di antara bidang-bidang yang mencakupi Sains Kesihatan, Perubatan, Pergigian dan Farmasi.

“Mereka menyangkakan Sains Kesihatan adalah sama dengan tiga bidang tersebut (Perubatan, Pergigian dan Farmasi), sedangkan Sains Kesihatan menawarkan pelbagai program yang berbeza yang turut menjanjikan prospek pekerjaan yang sangat bagus,” jelasnya.

Beliau berkata bidang Sains Kesihatan adalah sangat luas dan para pelajar boleh membuat pilihan untuk mengikuti program fisioterapi, sains pemakanan, forensik, terapi cara kerja, dietetik, optometri atau audiologi.

Sementara itu, Dekan FSK, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali berkata terdapat 12 program pengajian ditawarkan di fakulti itu.

“Berdasarkan kurus-kursus yang ditawarkan, jelas bahawa kewujudan fakulti amat relevan dengan keperluan semasa kerajaan yang sedang menjana transformasi secara kolektif.

“FSK amat berkeyakinan untuk melahirkan para graduan yang berkualiti dalam bidang sains kesihatan,” katanya.ukmnewsportal-bm
2

3