Kasih@FSSK Menyantuni Pelajar FSSK UKM


Oleh: Mohamad Salleh Sulieman, Dr.  Noremy Md. Akhir & Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd. Noor
Foto: FSSK

Penangan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara benar-benar mengubah lanskap sambutan Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini dan memberi kesan emosi terhadap sebilangan pelajar UKM.

Selain terpaksa menyambut Ramadan di kampus, mereka juga tidak dapat pulang berhari raya di kampung halaman lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan di seluruh negara.

Hal yang sedemikian memaksa mereka menyambut perayaan di kolej kediaman dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Ditambah dengan keadaan yang berjauhan dari keluarga tercinta, pastinya suasana tersebut mencabar emosi dan perasaan pelajar.

Atas dasar keprihatinan tersebut, Kasih@FSSK, satu unit khas yang melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) telah mengambil langkah untuk menyantuni para pelajar fakulti berkenaan dengan program yang dikenali sebagai Program Pek Sahur KASIH@FSSK dan Program Pek Syawal KASIH@FSSK, masing-masing pada bulan Ramadan dan Syawal yang lalu.

Idea penubuhan KASIH@FSSK sebenarnya dicetuskan oleh Prof. Dr. Hazita Azman, Dekan FSSK. Pada Mac 2021, unit yang menjadi ‘flagship’ program-program kesukarelawanan dan khidmat komuniti di fakulti ini secara rasminya ditubuhkan.

Program Pek Sahur KASIH@FSSK melibatkan seramai 413 pelajar manakala Program Pek Syawal KASIH@FSSK pula melibatkan sejumlah 144 pelajar. Sasaran adalah pelajar FSSK yang berada di 11 buah kolej kediaman di Kampus Bangi. Mereka menikmati sumbangan berbentuk makanan dan minuman yang dihulurkan oleh warga fakulti dan alumni FSSK.

Melalui kedua-dua program ini, matlamat KASIH@FSSK untuk menjaga kebajikan warga FSSK yang memerlukan bantuan khusus serta membudayakan semangat kesukarelawanan, nilai-nilai murni, dan semangat membantu dalam kalangan warga FSSK tercapai.

Penyerahan Pek Sahur KASIH@FSSK yang berlangsung pada Ramadan lalu dijalankan secara simbolik dan disampaikan oleh wakil pengurusan FSSK berikutan SOP yang ketat.

Majlis juga bertempat di empat kolej kediaman iaitu Kolej Dato’ Onn, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Rahim Kajai, dan Kolej Keris Mas. Seramai 35 orang sukarelawan dari Persatuan Mahasiswa FSSK (PMFSSK) menghulurkan tangan mereka bagi melancarkan perjalanan majlis.

Pengetua Kolej Tun Hussein Onn, Prof. Madya Dr. Norinsan mengulas program ini dengan lebih lanjut:

“Buat julung kalinya, FSSK adalah fakulti pertama di UKM yang turun padang menyantuni pelajar mereka di kolej kediaman di Kampus Bangi.”

Beliau turut merakamkan kesyukuran apabila melihat pelajar FSSK teruja dengan sumbangan yang dihulurkan.

“Saya gembira apabila melihat pelajar teruja dapat bersemuka dengan wakil pensyarah yang hadir semasa majlis penyerahan sumbangan tersebut,” ujarnya.

Majlis penyerahan Pek Sahur KASIH@FSSK ini bertambah meriah apabila Profesor Dr Hazita Azman membuat kejutan panggilan video khas dan sempat meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar.