Kebolehpasaran Belia Berkeperluan Khas Jadi Keutamaan
Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 3 November 2021 – Pasukan Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengutarakan empat sub-topik penyelidikan yang boleh membantu isu pekerjaan yang dihadapi oleh belia yang berkeperluan khas seperti masalah pembelajaran, klef bibir dan lelangit, autism, dan kurang upaya fizikal.
Para penyelidik tersebut terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran seperti sel fuel, ekonomi, pergigian, pendidikan dan sains sosial.
Mereka membentangkan penyelidikan tersebut di program Bicara Penyelidikan: Mendepani Isu Pekerjaan dalam Kalangan Belia Berkeperluan Khas.
Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman menzahirkan rasa kagum beliau terhadap iltizam kumpulan penyelidikan tersebut, kerana walaupun ahlinya terdiri dari pelbagai bidang, namun mereka memperjuangkan masa hadapan belia berkeperluan khas dengan menjalankan kajian mengenai isu pekerjaan yang dihadapi.
“Sememangnya menjadi hasrat UKM untuk melihat penyelidik universiti bekerjasama merentasi bidang dan fakulti dalam menyumbang ilmu pengetahuan serta kepakaran mereka kepada golongan yang sudah lama terpinggir dalam masyarakat kita.
“Saya yakin hasil penyelidikan ini akan membantu meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang ini serta menghasilkan saranan-saranan bernas bagaimana untuk mengatasi isu pekerjaan yang dihadapi oleh empat kelompok belia ini,” katanya.
Menurutnya, antara isu yang sering membelenggu belia berkeperluan khas untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja adalah stigma masyarakat termasuk keluarga, majikan, dan rakan sekerja.
“Mereka sering dilihat sebagai individu yang lemah dan kurang berupaya dalam menjalankan tanggungjawab dalam pekerjaan seperti orang lain. Sikap negatif terhadap belia berkeperluan khas ini boleh menjadi penghalang utama bagi mereka untuk mendapatkan pekerjaan dan hidup berdikari.
“Saya juga berharap hasil penyelidikan yang dijalankan dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi bagi membantu mencorakkan masa hadapan yang lebih cerah bagi golongan belia berkeperluan khas di negara kita,” tambahnya.
Bicara tersebut dirasmikan oleh Senator Datuk Ras Adibah Radzi, Senator yang mewakili Orang Kurang Upaya (OKU) di Dewan Negara yang juga merupakan Profesor Adjung Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM.
“Kekurangan maklumat dan pengetahuan terhadap OKU telah menimbulkan sikap prejudis dalam kalangan majikan. Ini mengakibatkan berlakunya kekurangan peluang pekerjaan bagi kelompok minoriti ini.
“Perlu ada kesinambungan yang jelas untuk remaja OKU dari peringkat sekolah, kolej, institut kemahiran sehingga membawa kepada haluan kerjaya yang sesuai,” katanya.