Kekalkan Generasi Kedua Berbahasa Melayu
Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Izwan Azman
BANGI, 16 April 2019- Masyarakat Melayu yang berada di luar negara masih lagi mengekalkan budaya Melayu walaupun generasi kedua (anak-anak mereka) kurang fasih berbahasa Melayu, kata Prof Emeritus Dato’ Dr Wan Hashim Wan Teh.
Beliau yang pernah menjawat Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) berkata, masyarakat Melayu yang tinggal di luar negara masih mengamalkan budaya Melayu walaupun setelah beberapa generasi seperti bermain alat muzik Melayu, berpakaian Melayu dan tingkah laku (peradaban Melayu).
“Walaupun mereka kurang berfasih berbahasa Melayu, namun budaya Melayu masih dikekalkan dan itu merupakan jati diri mereka,” katanya semasa Bicara Persada Ke-50 bertajuk Di Sebalik “Pulang” – Menelusuri Kebitaraan Diaspora Melayu, di Persada, Bangunan Canselori, baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Centre of Maritime Excellence (CME) Sdn Bhd, Dato’ Kapt Jaffar Lamri berkata, generasi sekarang berbahasa mengikut negara yang diduduki.
“Generasi kedua masyarakat Melayu yang berada diluar negara sudah tidak berbahasa Melayu lagi. Mereka berbahasa mengikut bahasa tempat dia tinggal – kalau di Jerman, mereka bercakap bahasa Jerman.
“Janganlah harap sangat kena berbahasa Melayu, itu tidak adil. Tetapi Melayu dia dimana? Ianya terletak pada perangai, perbuatan dan budaya dia,” ujarnya.
Dato’ Kapt Jaffar seterusnya berkata, masyarakat Melayu seperti Filipina, Malaysia dan Indonesia yang menetap di luar negara bukan hanya sebagai pendatang tetapi mempunyai kedudukan ekonomi sendiri.
“Kita yang bercakap Bahasa Melayu, perbuatan (adab) Melayu, kitalah yang menjadi penghubung kepada mereka untuk menyampaikan kemelayuan itu, itu adalah tugas kita,” katanya.
Bicara Persada Ke-50 itu turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Primewokrs Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, Pemegang Amanah Rumah Malaysia@Liverpool, Jantan Lisot dan Omar Othman sebagai ahli panel, manakala Nizal Mohamad yang mantan personaliti TV3 bertindak sebagai moderator.