Kemajuan Teknologi Bergantung kepada Perkembangan Nanoteknologi – Prof. Emeritus Dr. Muhamad
Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Izwan Azman
BANGI, 21 Januari 2020 – Kemajuan teknologi hari ini banyak bergantung kepada peranti elektronik yang dibina bagi tujuan sistem komunikasi dan berfungsi dengan pengawalan elektron menerusi tiub vakum.
Namun, penggunaan bahan semikonduktor dalam peranti elektronik bermula pada tahun 1947 dan telah berkembang pesat pada tahun 1960, hasil dari inovasi teknologi semikonduktor silikon.
Felo Utama Institut Kejuruteraan Mikro dan NanoElektronik (IMEN), Prof Emeritus Dr Muhamad Mat Salleh dalam syarahannya berkata, teknologi baru itu tidak bergantung kepada semikonduktor silikon semata-mata, tetapi dihasilkan dari bahan yang berasaskan nanoteknologi.
“Perkembangan era semikonduktor telah berlaku dari segi saiz besar ke saiz yang kecil dan perkembangan ini juga dapat diukur dengan berapa banyak cip boleh diisi dalam transistor,” katanya dalam Syarahan berjudul Menelusuri Evolusi Industri Elektonik Bagi Merintis Kecemerlangan Pasca 50 Tahun Penubuhannya di Persada Canselori, baru-baru ini.
Beliau berkata, dalam perkembangan era nanoteknologi pula, ia menggunakan komponen-komponen dengan menggunakan bahan yang kecil dari skala satu hingga 100 nanometer.
Jelasnya, keistimewaan nanoteknologi telah membuka ruang inovasi yang luas dan boleh dicapai tanpa kos pembangunan infrastruktur yang tinggi.
Dalam pada itu, beliau juga pernah menjalankan beberapa kajian, antaranya ialah menghasilkan peranti elektronik menggunakan bahan cetakan dan menjalankan penyelidikan berkaitan Diod Pemancar Cahaya Organik (OLED).