Kepakaran Penyelidik UKM Rangkul Anugerah di NEA


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 9 Mac 2023 – Hospital Kepala Batas yang mendapat kepakaran daripada felo penyelidik Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam projek Bandar Tenaga Pintar Bertam telah meraih anugerah MERIT dalam kategori Renewable Energy, Combined Heat and Power di Anugerah Tenaga Kebangsaan (National Energy Awards 2022).

Menurut Felo Penyelidik dan pengarah SERI, Prof. Madya Dr. Mohd Adib Ibrahim, Hibrid Terma Fotovoltan (PVT) dan Sistem Pam Haba (HPVTHPS) telah dicadangkan dalam kajian lapangan ini untuk meningkatkan keselesaan terma wad hospital pengudaraan semula jadi.

“Pam haba digunakan untuk memanaskan air dan menghasilkan udara sejuk untuk mengurangkan suhu udara di wad, selain menjadi agen penyejuk aktif untuk meningkatkan prestasi PVT.

“Secara keseluruhannya, HPVTHPS telah mengurangkan suhu bilik wad hospital berbanding suhu asas dengan purata penurunan suhu antara 0.5 °C hingga 3.9 °C.

“Sistem PVT juga menunjukkan nilai kecekapan tinggi antara 51.0% dan 69.0% yang merangkumi prestasi tenaga haba dan elektrik.

“Projek yang dipasang di Hospital Kepala Batas dengan kapasiti PV solar 7.20 kWp berjaya mengurangkan karbon dioksida sebanyak 151 tan setahun.

“Pengurangan ini bersamaan dengan 329,569 anak pokok yang ditanam selama 10 tahun untuk menyerap karbon dioksida,” katanya.

Majlis anugerah ini dihadiri oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam ucapannya, beliau berkata NEA memainkan peranan penting dalam menggalakkan pemilik perniagaan dan bangunan untuk mengadaptasi amalan tenaga lestari.

“NEA menjadi platform untuk mendidik, mempromosi dan menggalakkan penggunaan amalan tenaga lestari terbaik di pejabat, kilang, bangunan dan institusi kewangan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani.