Kepakaran Profesor UKM diiktiraf di Qatar


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 25 Jun 2018 – Kepakaran Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Kejururteraan Kimia (water and wastewater treatment) ditagih dan diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila Prof Dato’ Ir Dr. Abdul Wahab Mohammad dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) telah dipinjamkan ke Qatar Environment and Energy Research Institute (QEERI), Hamad bin Khalifah University, Qatar selama dua tahun bermula Mac 2018 lalu.

Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab yang dilantik sebagai Senior Research Director QEERI berkata, tugas beliau adalah untuk memantau penyelidikan-penyelidikan yang dibuat di sana dan memastikan semua projek penyelidikan dijalankan dengan baik serta memastikan hasil (output) penyelidikan dapat dihasilkan.

“Saya tidak melakukan penyelidikan sebaliknya saya memantau penyelidikan yang dibuat. Kajian-kajian yang dijalankan adalah untuk memastikan ianya releven berkaitan dengan isu-isu atau penyelesaian-penyelesaian yang diperlukan oleh Qatar,” katanya.

Beliau berkata, teknologi yang ada di Malaysia dan Qatar adalah hampir sama tetapi Qatar mempunyai kelebihan kerana mempunyai peruntukan yang banyak untuk membeli peralatan yang canggih.

“Mereka (Qatar) juga bekerjasama dengan banyak makmal baru diseluruh dunia. Yang terbaru QEERI akan bekerjasama dengan NASA melalui projek satelit yang akan pantau perubahan air bawah tanah,” katanya.

Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab berkata, beliau telah berjumpa dan berbincang dengan Naib Canselor, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali untuk mengadakan kerjasama dengan QEERI.

“Mungkin UKM boleh fikirkan untuk bekerjasama dengan QEERI melalui projek yang bakal dijalankan dengan NASA.

“Kita perlu ambil peluang ini kerana peluang untuk bekerjasama dengan NASA bukanlah sesuatu yang mudah,” jelasnya.

Katanya, beliau berharap akan ada sangkutan pensyarah UKM di sana bagi meneroka teknologi, kepakaran dan kerjasama diperingkat antarabangsa kerana peluang untuk menyertai projek-projek mega di peringkat antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah.