Kepentingan Pengurusan Sumber Manusia dalam Arus Perubahan
Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
BANGI, 27 Ogos 2021 – Sumber manusia yang cekap dan berdaya saing menjadi tunjang organisasi dalam mengharungi cabaran persekitaran masa kini.
Justeru, sumber manusia dan kesejahteraannya perlu dipelihara lantaran kehebatannya berbanding teknologi canggih terutama sekali disaat negara sedang bergelut dengan pandemik COVID-19 dan Industri 4.0, kata Prof Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul.
“Keterbatasan teknologi dalam memperihalkan aspek kemanusiaan menjadikan kesejahteraan sumber manusia isu penting yang wajib dirungkai dalam perubahan persekitaran,” tambah beliau.
Prof Dr. Zafir Khan berkata demikian pada majlis Syarahan Perdana Profesor yang bertajuk Mengurus Sumber Manusia dan Kesejahteraan dalam Ranjau Perubahan. Syarahan tersebut memberi fokus kepada kajian beliau berkenaan cabaran dan isu berkait keselamatan, kesihatan, produktiviti, kelangsungan perniagaan, kemahiran sumber manusia serta peluang pekerjaan dalam era pandemik COVID-19.
“Tempias perubahan persekitaran akibat pandemik COVID-19 dan Industri 4.0 yang berlaku dalam tahun 2020 mula dirasai oleh masyarakat dan ia adalah satu gelombang perubahan besar yang mengubah landskap perjalanan kehidupan manusia.
“Aspek kesejahteraan sumber manusia mesti menjadi agenda penting organisasi apabila perubahan berlaku di persekitaran bagi meminimumkan impak negatifnya, yang mungkin menjadi pencetus krisis ekonomi dan kemanusiaan,” katanya.
Beliau juga menyentuh isu berkenaan stres dan kemurungan, teknologi komunikasi dan teknostres, kepimpinan, pengurusan bakat, penilaian prestasi, konflik dalam organisasi, sindrom bangunan tidak sihat serta isu aduan somatik dan gangguan otot rangka sangat sinonim dengan kesejahteraan mendepani perubahan.
Program yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui UKM-Graduate School of Business itu turut dihadiri oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.