Kepimpinan Bermula Dalam Keluarga – Tan Sri Rafidah Aziz
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Ra’ai Osman
BANGI, 1 Jun 2015 – Untuk menjadi seorang pemimpin yang berkaliber, kita perlu memastikan kepimpinan di rumah adalah cemerlang, kata negarawan, mantan Menteri dan kini Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz.
Beliau berkata jika kepimpinan di rumah tidak mencerminkan keperibadian yang baik, bagaimana untuk memimpin negara yang mempunyai jumlah rakyat yang besar?
“Pertama sekali adalah menjadi pemimpin yang terbaik sebagai ibu bapa di rumah. Kalau pemimpin dalam keluarga tak betul, negara pun tak betul. Masalah yang timbul dalam negara sekarang ini bukan bermula dari dasar kerajaan atau Perdana Menteri tetapi semua ini adalah bermula dari rumah.
“Parenting (Keibubapaan) adalah satu aspek kepimpinan yang sangat penting dalam sesebuah keluarga terutamanya dalam keadaan sekarang. Ini adalah kunci kepada segala-galanya untuk masyarakat dan negara kerana asasnya dalam keluarga itu kepimpinan ibu bapa adalah mendidik anak kerana untuk membina keluarga perlu usaha yang lebih dari membina negara,” katanya semasa menyampaikan Syarahan Tun Fatimah Hashim: Perjalanan Menjadi Seorang Pemimpin di sini pada 26 Mei lepas.
Syarahan ini dianjurkan oleh Pusat Kepemimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Rafidah berkata ibu bapa perlu memimpin anak-anak untuk menerima hakikat bahawa di Malaysia ada kepelbagaian.
“Ibu bapa perlu didik anak untuk menerima perbezaan antara kaum, menerima hakikat bahawa inilah tanah air kita dan perlu terapkan semangat kebangsaan dalam diri anak-anak kita,” ujar beliau.
Mantan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tersebut berkata kini kepimpinan dalam keluarga dilihat semakin kritikal kerana ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing dan mengharapkan didikan 100 peratus daripada guru di sekolah.
“Seorang guru perlu menjaga berpuluh-puluh orang pelajar. Jadi mereka hanya memberi pelajaran sedangkan didikan asas adalah tanggungjawab ibu bapa. Jangan hanya mengharapkan pihak sekolah sahaja kerana masa anak-anak di rumah adalah lebih banyak dari di sekolah.
“Jadi kena utamakan kepimpinan keluarga dahulu baru boleh cakap tentang kepimpinan di luar,” katanya.
Katanya masyarakat kini hanya melihat untuk menjawat jawatan tertinggi sebagai pemimpin dalam sesebuah organisasi sedangkan semua keputusan yang dibuat adalah atas nasihat pegawai bawahan.
“Tapi sekarang ini bila bercakap tentang kepimpinan hanya nampak politik sahaja. Semua nak jadi pemimpin politik. Kalau di syarikat swasta nak jadi CEO (Ketua Pengawai Eksekutif), nak jadi board members. Kononnya nak jadi pemimpin yang buat keputusan.
“Sebenarnya yang buat keputusan adalah orang-orang di bawah dalam lingkungan masing-masing. Kalau yang bawah salah buat keputusan, strategi akan silap dan CEO juga akan silap. Kalau pegawai-pegawai salah buat analisa, hipotesis akan silap dan dasar kita juga akan silap. Jadi Menteri pun akan salah umum.
“Jadi, di mana kepimpinan? Dari bawah kan? You must get good specialists, good planners. Jangan target terus nak jadi menteri saja,” terangnya.
Beliau menegaskan bahawa untuk menjadi seorang pemimpin seseorang itu perlu berintegriti dan berdisiplin dalam menjalankan tanggungjawab.
“Pemimpin perlu ada sifat bertanggungjawab, amanah dan akauntabiliti. Cara berfikir, cara bertindak dan pengurusan masa adalah konsep disiplin yang mesti ada pada setiap pemimpin supaya boleh menjadi contoh kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata pemimpin tidak perlu kerja kuat tetapi perlu bijak dalam melaksanakan tugas.
“Jangan jadi seperti ‘lipas’ yang kuat bekerja tapi tak bijak. Pemimpin perlu bijak, berdedikasi dan komited serta perlu ada team player yang kuat yang dapat bekerja bersama-sama. Pemimpin yang rajin akan mampu untuk motivate team player dia,” tegasnya.
Rafidah menekankan supaya setiap pemimpin tidak boleh membuat perbandingan dengan orang yang lebih bawah darinya tetapi perlu membandingkan dengan orang yang lebih maju darinya.
“Kita akan rasa selesa bila dibandingkan dengan orang yang berada lebih rendah dari kita sedangkan jika kita berada di sebelah orang yang lebih bagus dari kita, kita dapat lihat betapa kecilnya kita di sisi orang itu,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa setiap pemimpin perlu membuat inovasi dan perlu bijak dan telus dalam membuat keputusan.
“Jangan tunggu dasar kerajaan untuk berubah. Inovasi bukan makmal, sebaliknya lakukanlah small little changes dalam kepimpinan,” katanya.
Katanya Malaysia perlu ada pemimpin sepanjang zaman yang mempunyai pengetahuan merentasi sempadan.
“Walaupun 10 tahun menjadi pemimpin, tetapi idea yang diberikan sentiasa bagus dan boleh digunakan oleh orang ramai. Fahaman yang ada pada pemimpin itu tidak usang. Itulah pemimpin yang sepatutnya menjadi pemimpin,” katanya.