Kerjasama FTSM dengan Move Robotics Tingkatkan Kualiti Produk berkaitan Robotik Tempatan


Oleh Nur Aisyah Mohamed Rizal dan Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 17 Ogos 2022 – Kerjasama yang dimeterai melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Move Robotic Sdn. Bhd. Dilihat dapat meningkatkan mutu produk berkaitan robotik tempatan di Malaysia.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Inustri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata UKM bertuah kerana dapat bekerjasama dengan syarikat Move Robotic yang mempunyai kepakaran sebagai sebuah syarikat berasaskan kepakaran teknologi dalam bidang mekatronik, perisian dan algoritma, serta reka produk industri.

“Dengan gabungan kepakaran dalam pembangunan aplikasi robot berasaskan kecerdasan buatan ini, saya harap ia dapat meningkatkan mutu produk berkaitan robotik tempatan di Malaysia selaras dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan penyelidikan yang bersifat translasional,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis Menandatangani MoA antara UKM dengan Move Robotics Sdn Bhd, di sini, baru-baru ini.

Beliau juga diharap agar kerjasama itu dapat meningkatkan kualiti penyelidikan, pengetahuan, tenaga pengajar dan seterusnya pengeluaran graduan yang berkualiti sejajar dengan keperluan industri.

“UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan sentiasa beraspirasi untuk menjadi sebuah universiti penyelidikan yang sentiasa memberi sumbangan besar terhadap pembangunan teknologi negara. Justeru, UKM berharap MoA ini dapat menjadi satu usaha memperkasa penyelidikan dan pembelajaran yang dijalankan oleh UKM,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Dr. Abdul Hadi Abd Rahman, Pensyarah FTSM selaku KetuaProjek TR-UKM yang telah berjaya melaksanakan projek penyelidikan bertajuk OCULARSENSE: Multiple-Depth Camera for Surrounding Visual dan menggerakkan penyelidikan tersebut bagi mencapai matlamat jalinan kerjasama ini.

“Saya juga berharap kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada pelajar UKM dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan UKM selaras dengan agenda utama dalam lembayung TERAS UKM,” katanya.

Penandatanganan MoA itu diwakili oleh Prof. Dato’ Dr. Norazah yang mewakili UKM manakala Move Robotics Sdn. Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Hazeli Rasul.