Kerjasama FUU dan ICM Wujudkan Peluang Kecemerlangan


Oleh Inaara Aznan
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 28 Disember 2018 – Fakulti Undang-undang (FUU) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berkolaborasi dengan Inns of Court Malaysia (ICM), iaitu sebuah pertubuhan hakim, peguam, ahli hukum, akademik undang-undang dan profesional undang-undang dari semua peringkat dan latar belakang bagi meningkatkan dan mengukuhkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran amalan profesional dan advokasi undang-undang.

Kerjasama itu dilakukan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, baru-baru ini.

Pro Naib Canselor Penjanan dan Prasarana, Prof.Dato’ Dr Nor Ghani Md Nor berkata, kerjasama tersebut akan memberi banyak manfaat kepada UKM dalam mewujudkan peluang ke arah mencapai kecemerlangan undang-undang profesional melalui acara, latihan dan program pada masa akan datang.

“Oleh kerana visi utama UKM adalah untuk menjadi salah sebuah universiti penyelidikan yang diiktiraf dunia, kerjasama ini akan menyediakan platform bagi UKM untuk berangkaian dengan ahli ICM yang bereputasi dan berpengaruh.

“Ia juga selaras dengan aspirasi UKM untuk membina rangkaian yang sangat baik dengan industri dan memupuk hubungan yang baik dengan masyarakat, di dalam dan di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, perkongsian itu akan menyediakan sinergi usaha antara UKM dan ICM bukan sahaja bagi meningkatkan piawaian profesional undang-undang, tetapi untuk lebih maju ke hadapan dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Saya yakin MoU ini akan memberi manfaat kepada UKM dan ICM serta negara kita yang dicintai kerana ia akan meningkatkan pemahaman dan penghayatan semangat undang-undang Malaysia,” katanya.