Kerjasama Jabatan Muzium Malaysia Bersama UKM Makmurkan Istana Puteri Bongsu
Oleh Inaara Aznan
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 10 Januari 2019 – Kerjasama yang terjalin antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) sejak sekian lama adalah bagi memakmurkan Istana Puteri Bongsu dengan pelbagai aktiviti budaya dan warisan.
Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof Dr Supyan Hussin berkata, UKM telah megadakan kerjasama dengan JMM sejak tahun 1995, melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang dibuat oleh kedua-dua institusi itu.
“Jabatan Muzium Negara (JMM) dan ATMA UKM mempunyai hubungan sejarah yang panjang dalam projek penyelidikan, pembinaan dan pemantapan sumber manusia, termasuklah kerjasama dalam memulihara dan memanfaat Istana Puteri Bongsu,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis MoU antara UKM dan JMM di Sudut Wacana, Bangunan ATMA baru-baru ini.
Katanya, beliau percaya dengan termeterainya MoU itu, akan ada lebih banyak penyusulan idea untuk memulihara dan memanfaatkan Istana Puteri Bongsu.
“Kami telah meminta pihak universtiti untuk membekalkan air dan elektrik di Istana Puteri Bongsu bagi membolehkan aktiviti yang lebih besar dapat dijalankan di situ,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Dato’ Kamarul Baharin A Kasim berkata, Taman Pantun tersebut akan menjadi kompleks teknologi dunia Melayu yang merangkumi kajian terhadap etnik-etnik melayu.
“Kita mempunyai banyak khazanah dunia Melayu yang perlu kita jaga dan menggunakannya demi masyarakat, khususnya generasi muda untuk mereka mempelajari etnik Melayu yang ada dan pernah wujud,” katanya.
Istana Puteri Bongsu telah ditempatkan oleh JMM di Taman Pantun, UKM pada tahun 2006 dan dengan termeterainya MoU itu, Istana Puteri Bongsu dapat di jaga dengan lebih rapi.