Kerjasama PKWTFH dengan WLF Bakal Lahirkan lebih Ramai Pemimpin Wanita


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 16 Disember 2021 – Kerjasama yang dijalinkan melalui Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Women Leadership Foundation (WLF) bakal melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam golongan pembuat keputusan.

Pengerusi WLF, Datuk Dr. Hafsah Hashim berkata salah satu intipati dalam MoU itu adalah untuk melahirkan kepimpinan wanita yang berkaliber dan meletakkan kaum itu di tempat yang tinggi iaitu dalam golongan pembuat keputusan.

“Jika kita lihat statistik, pelajar perempuan yang Berjaya melanjutkan pelajaran di universiti adalah 62 peratus, manakala lelaki adalah 38 peratus. Tetapi dalam sektor pekerjaan, kenapa jumlah pekerja lelaki lebih ramai dari wanita? Ini yang kita perlu lihat dan kaji,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangi MoU antara UKM dengan WLF, semalam.

Beliau berkata bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita, ahli akademik perlu memainkan peranan dan disebabkan itulah terhasilnya kerjasama antara kedua-dua organisasi ini.

“Kita nak lahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam pelbagai konteks. MoU ini akan menonjolkan kepimpinan wanita dalam pelbagai bidang. Saya percaya kerjasama ini merancakkan dan mempercepatkan lagi create critical mesh proses (mencipta jaringan kritikal) dalam kalangan pemimpin wanita,” katanya.

Beliau berkata kerjasama yang dilakukan itu bukanlah untuk meminggirkan kaum lelaki, sebaliknya kaum itu akan menjadi pelengkap dalam segala tindakan yang akan dibuat.

“MoU ini adalah rentas pelbagai disiplin, bukan hanya kepada PKWTFH sahaja tetapi juga fakulti-fakulti lain akan terlibat dalam mengasah kemahiran mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohamad berkata memorandum persefahaman itu penting untuk memperkasakan wanita menerusi penyelidikan, latihan dan program-program berkaitan kepimpinan.

“Memorandum ini bukan sahaja memberi manfaat kepada PKWTFH dan UKM, malah kepada seluruh negara.

“Sementara PKWTFH berusaha di peringkat akademik untuk mempertingkatkan pengetahuan dalam isu berkaitan kepimpinan wanita, WLF pula sedaya upaya bergerak untuk mengenalpasti, melatih dan menghasilkan lebih ramai pemimpin Wanita Senior dan yang muda dalam negara ini secara profesional.

“Saya percaya mereka juga di bawah kepimpinan yang berkebolehan dan telah bekerja keras untuk mengatasi cabaran akibat pandemik dan seterusnya meneruskan khidmat kepada wanita Malaysia dengan membangunkan strategi dan

inisiatif yang relevan untuk membangunkan mereka sebagai pemimpin yang berkaliber,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin bahawa kerjasama akademik, penyelidikan dan kepakaran industri akan menjanjikan manfaat yang besar kepada wanita di negara ini.

“Untuk mencapai kejayaan sebenar, pengetahuan mesti dilengkapkan bersama kemahiran dengan baik dan saya amat yakin tiada gabungan yang lebih baik untuk mencapai kejayaan ini daripada kerjasama yang akan dijalankan oleh PKWTFH dan WLF,” katanya.