Kerjasama Strategik UKM dan MSU Beri Impak Besar Kecemerlangan Pendidikan Perubatan
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
Shah Alam, 8 Ogos 2022 – Kerjasama strategik yang terjalin antara Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Management and Science University (MSU) bakal memberi impak besar terhadapat kecemerlangan pendidikan terutamanya pendidikan perubatan.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM amat mengalu-alukan kolaborasi sebegini bagi meningkatkan dan memperkasakan penyelidikan yang bersifat multidisplin.
“Kerjasama ini juga dapat memberi peluang bagi penyeliaan bersama untuk program pascadoktoral dan pelbagai program pascasiswazah.
“Saya dimaklumkan kerjasama ini juga akan dijadikan landasan untuk melaksanakan aktiviti pertukaran pelajar dan kakitangan bagi pembangunan pembelajaran dan pengkongsian amalan terbaik dalam kalangan warga kedua-dua buah universiti,” katanya semasa Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman antara UKM dengan MSU, baru-baru ini.
Katanya, beliau yakin dengan kewibawaan dan kepakaran yang ada di MSU, kerjasama tersebut akan memberi impak yang besar kepada kecemerlangan UKM terutamanya kepada Fakulti Perubatan UKM.
“Dengan sejarah penubuhan yang panjang, sehingga kini, Fakulti Perubatan UKM terus berjaya menjadi hab akademik perubatan yang terkehadapan dan berdaya saing berteraskan ilmu, inovasi dan pasukan profesional perubatan yang berdedikasi dalam meningkatkan tahap kesihatan masyarakat.
“Saya berharap dengan kepakaran ini, Fakulti Perubatan UKM berupaya menyediakan ekosistem ilmu berteraskan penyelidikan dan inovasi terkini yang akan memberi manfaat dan kejayaan kepada MoU yang dimeterai ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Mohd Shukri Ab. Yajid berkata, selain kerjasama penyelidikan bersama, beliau berharap agar kedua-dua institusi pendidikan tersebut dapat membuat sekurang-kurangnya satu program double degree atau dual degree.
“Kami dah banyak buat kerjasama dalam membangunkan program double degree, tapi kami masih belum ada kerjasama program ini dengan universiti tempatan. Jadi, saya harap kita dapat lakukan kerjasama ini dengan UKM.
“Kami juga sedang mencari lebih banyak kerjasama dalam berkongsi kemudahan, bagaimana kita (MSU dan UKM) bekerja untuk berkongsi hospital swasta dan awam? Ini yang kita benar-benar perlukan lebih banyak kerjasama antara sektor swasta dan sektor awam,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi UKM, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, dan Pengarah Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Prof. Datuk Dr. Ismail Sagap.