Kerjasama strategik UKM dan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi tingkatkan usaha penyelidikan untuk masyarakat
Oleh Salleh Sulieman
Foto Izwan Azman
BANGI, 28 Disember 2020 – Kerjasama yang terjalin antara UKM dengan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui Memorandum Perjanjian (MoA) yang berlangsung baru-baru ini adalah salah satu pelan strategik untuk memperkasakan agenda penyelidikan dan sumbangan kepakaran UKM untuk masyarakat.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohamad berkata, perjanjian ini mampu mengukuhkan lagi hubungan dinamik antara Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Institut Islam Hadhari.
“Saya berharap agar hubungan dapat diperluaskan lagi kepada empat bidang penyelidikan yang menjadi tujahan di Institut Islam Hadhari iaitu politik dan kepimpinan, sosio-budaya, ekonomi dan perniagaan, sains & teknologi, serta alam sekitar & kesihatan,” katanya.
Penyelidikan yang didanai oleh Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Ermy Azziaty Rozali bersama enam orang penyelidik bersama dengan jumlah sebanyak RM 50,000. Antara hasil penyelidikan ini adalah seperti Forum Hadhari yang bertajuk ‘Sheikh Abdulllah Fahim: Sumbangan Dalam Bidang Falak dan Penentu Tarikh Kemerdekaan’ yang berlangsung pada 24 September 2020.
Hubungan antara kedua-dua institusi ini telah lama terjalin yang bermula dengan sambutan ulang tahun Institut Islam Hadhari yang ke-10 pada 25 Mei 2017. Seterusnya, kedua-dua institusi ini mengorak langkah dengan acara seperti Hadhari Global Network, Memorandum Persefahaman (MoU) UKM dan Kyoto University, Simposium Antarabangsa Islam, Peradaban dan Sains (ISICAS), Hadhari Approach: Revitalizing Global Network, dan Pelancaran Hadhari Global Network.
Beliau berucap semasa merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi Penyelidikan Ketokohan Syeikh Abdullah Fahim Dalam Perkembangan Pendidikan Islam dan Ilmu Falak Pada Awal Abad Ke-20 antara UKM dengan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi.