Kerjasama UKM, B.Braun Medical Supplies Penuhi Keperluan MDR


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 13 Mei 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama B. Braun Medical Supplies Sdn. Bhd. bagi mengumpul dan menggunakan maklumat klinikal bagi alat perubatan B.Braun untuk memenuhi keperluan European Medical Device Regular (MDR).

Alat perubatan yang terlibat adalah ‘sutures’ yang dinamakan Novosyn, Monosyn dan Dafilon.

Menurut Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid, pematuhan kepada MDR adalah wajib bagi syarikat yang membekalkan peralatan perubatan dan ingin memasarkan produk di pasaran Eropah.

“MDR menetapkan pengilang untuk melaksanakan dan menyelenggara sistem pengawasan pasca pasaran secara aktif dan sistematik mengumpul, merekod dan menganalisis data yang berkaitan tentang kualiti, prestasi dan keselamatan peralatan perubatan yang dikeluarkan.

“Atas keperluan untuk memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh MDR, B.Braun telah memilih UKM sebagai institusi yang terlibat dalam penyediaan penjagaan kesihatan dilengkapi kemudahan penyelidikan untuk menjalankan latihan dan mengumpul data mengenai penggunaan pelbagai produk perubatan ke atas pesakit.

“Kepercayaan B.Braun kepada UKM dengan kepakaran dan perkhidmatan ditawarkan di HCTM untuk mengumpul data berkaitan penggunaan produk ‘suture’ yang dihasilkan diharap dapat memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berharap agar pemeteraian MoA ini akan merancakkan lagi bidang-bidang kerjasama sedia ada di antara dua organisasi di samping menjana bidang kerjasama baru yang akan memberi impak dan manfaat kesejahteraan khususnya kepada masyarakat dan negara.

B.Braun yang terlibat dalam pengimportan, penjualan produk dan peralatan perubatan serta farmaseutikal telah mengeluarkan pelbagai produk perubatan yang didaftarkan untuk digunakan di Kesatuan Eropah.

Delegasi B. Braun Medical Supplies Sdn. Bhd. diketuai oleh Pengarah Urusan, Yeong Lih Chun. Hadir sama, Pengarah, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Prof. Dato’ Dr. Razman Jarmin.