Kerjasama UKM dan DBKL Tingkatkan Kesedaran Penjagaan Kesihatan Awam


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 28 September 2021 – Jalinan kerjasama yang dimeterai antara Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah untuk meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan awam dalam kalangan masyarakat di ibu kota.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata kolaborasi antara DBKL dengan UKM dilihat dapat mendidik masyarakat untuk lebih peka terhadap pengawalan jangkitan penyakit berjangkit dan dapat menurunkan statistik penyakit tidak berjangkit di Kuala Lumpur.

“Walaupun dunia dikejutkan dengan pandemik penyakit berjangkit COVID-19, peningkatan kes penyakit tidak berjangkit atau NCDs tidak boleh diabaikan.

“Peningkatan bebanan pengurusan NCDs dilihat bakal mempengaruhi kesihatan dan kualiti hidup penduduk, serta menyumbang kepada kesan negatif terhadap pembangunan ekonomi negara. Walaupun fokus untuk membendung penyakit kronik fizikal dilihat giat dijalankan, namun aspek kesihatan mental juga tidak boleh diabaikan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan DBKL, semalam.

Oleh itu katanya, amat penting promosi serta pendidikan kesihatan dapat dipergiatkan agar kesihatan masyarakat berkaitan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit tidak diabaikan.

“Maka, atas konsep inilah munculnya program usahasama antara DBKL dan UKM yang bertujuan untuk memberikan maklumat mengenai penjagaan kesihatan kepada semua lapisan umur, daripada kanak-kanak sehinggalah ke orang dewasa,” katanya.

Beliau berharap usahasama DBKL dan UKM dapat mengawal jangkitan penyakit berjangkit dan mengurangkan kes serta bebanan akibat penyakit tidak berjangkit.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata kerjasama antara DBKL dan UKM itu adalah bagi memperkukuh bidang kesihatan awam dan pendidikan agar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

“Berdasarkan pengalaman kami, kolaborasi seperti ini sering membuahkan hasil yang angat memuaskan kerana semua pihak yg terlibat akan dapat saling membantu untuk capai objektf yang sama iaitu mengisi jurang dalam sektor kesihatan awam di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur.

“Saya yakin kerjasama pusat pengajian tinggi yang unggul seperti UKM akan menghasilkan impak yang berkesan. Dengan adanya kolaborasi seperti ini, DBKL dapat meningkatkan lagi program kesihatan awam yang dijalankan dan sekaligus dapat meningkatkan lagi kualiti hidup warga kota,” katanya.