Kerjasama UKM dan MRA Pupuk Jalinan Kerjasama Jangka Panjang


Oleh Inaara Aznan
Foto Hafizah Mohamad Isa dan Abd Rahman Putra

CHERAS, 18 Februari 2019 – Bagi menarik lebih ramai modal insan dan graduan dalam melaksanakan program kesukarelawan dan aktiviti kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalin kerjasama dengan Malaysian Relief Agency (MRA) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi tersebut.

Majlis tersebut telah diwakili oleh Pro Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal dan Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman.

Majlis MoU berlangsung di Sukmaria, Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM) di sini baru-baru ini.

Dalam ucapan, Prof Datuk Dr A Rahman berkata, kerjasama itu memberi ruang kepada pelajar, pensyarah dan warga UKM untuk membina platform dan menyertai program kemanusiaan di dalam dan di luar negara.

Katanya, kerjasama itu akan dapat memastikan warga UKM mendapat garis panduan jelas menerusi modul pembelajaran serta kursus latihan dalam bidang kemanusiaan dan kesukarelawanan yang dikendalikan oleh MRA.

“Kami percaya persefahaman ini akan menjadi pemangkin kolaborasi dalam bidang pendidikan dan latihan, perkhidmatan serta penyelidikan antara UKM dan MRA,” katanya.

Kerjasama ini telah bermula sejak tahun 2015 dimana meraka menjalankan program kemasyarakatan dan latihan sukarelawan bersama beberapa kakitangan dan pelajar dari pelbagai fakulti di UKM.

Antara aktiviti yang telah dilakukan pada tahun 2015 adalah bantuan perubatan pasca bencana banjir di Terengganu, Program Kesihatan Komuniti Pelarian Rohingya sertra Program Latihan Kemanusiaan Fakulti Farmasi.

Selapas menandatangani MoU tersebut, program pertama yang akan diadakan adalah program Outreach Pelajar Prasiswazah UKM bersama Orang Asli di Daerah Ulu Slim Perak.