Kerjasama UKM Dan Universiti Indonesia Dalam Bidang Penyelidikan Geologi

UKM and Indonesian University Collaborate On Geology Research.jpg1Oleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Izwan Azman

BANGI, 23 Mac 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universitas  Pembangunan Nasional (UPN) Veteran, Indonesia akan bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan pertukaran ahli akademik.

Suatu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani di sini hari ini bagi menjalankan projek penyelidikan bersama serta mengadakan program mobiliti pelajar serta pertukaran mahasiswa.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menandatangani bagi pihak UKM manakala Naib Canselor Prof Dr Ir Sari Bahagiarti K mewakili UPN Veteran, Indonesia.

Pengarah Institut Alam Sekitar Dan Pembangunan (LESTARI) UKM Prof Dr Mohd Raihan Taha dan ketua Pengerusi Jabatan Geologi UPN Veteran, Indonesia Ir Sugeng Raharjo menandatangani sebagai saksi.

Kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan projek penyelidikan bersama dalam bidang geologi dan  pertukaran ahli akademik bagi melebarkan ruang kerjasama di segala bidang terkhusus di bidang akademik.

Prof Noor Azlan berkata rakyat Malaysia meletakkan UKM sebagai identiti yang berdasarkan budaya yang kuat namun  akan tetap selari dengan pengembangan ilmu dan penyelidikan yang merentas disiplin.

Beliau menambah dengan wujudnya kerjasama dalam bidang akademik, maka akan wujud juga hubungan yang baik bagi kedua-dua negara.

Pada masa lalu pensyarah dari Indonesia turut sama memajukan UKM dan sehubungan itu jalinan tersebut mesti sentiasa dipelihara. Dalam hal ini pelajar dan pensyarah menjadi duta negara untuk menyambung visi dan misi kerajaan.

Prof Sari pula berkata MoU tersebut adalah wajar dengan harapan kerjasama yang berfaedah dapat diusahakan antara mereka.

Menurut beliau beberapa pensyarah dari pada UPN Veteran, Indonesia akan  melanjutkan pengajian program doktoral (Phd) di UKM, dengan harapan agar ilmu yang diperolehi akan dapat memberi manfaat kepada warga UPN.

UPN Veteran  dahulunya adalah universiti swasta tetapi pada 6 Oktober 2014, UPN ditukar kepada universiti Negeri, dengan 5 fakulti dan 6 program Master serta 15 program Sarjana Muda. UPN merancang mewujudkan program Doktorat pada masa akan datang.

Sebelum MoU dimeterai telah pun ada hubungan antara UKM dan UPN Veteran  pada tahun 2003 apabila beberapa pensyarah daripada universiti Indonesia tersebut menerima jemputan daripada LESTARI UKM.

Pada tahun 2013 beberapa pensyarah  UPN Veteran dan LESTARI UKM  melakukan penyelidikan bersama dalam bidang geologi.
ukmnewsportal-bm