Kerjasama UKM Dan University of Nottingham Dalam Bidang Perubatan

UKM And University Of Nottingham To Cooperate In Stroke CareOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 5 Februari 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan University of Nottingham akan bekerjasama dalam bidang perubatan khususnya penjagaan pesakit yang diserang angin ahmar (stroke).

Suatu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani di sini hari ini bagi penyeliaan penyelidikan PhD, menjalankan projek penyelidikan bersama serta mengadakan program pertukaran ahli akademik dan penyelidik klinikal.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah menandatanganinya bagi pihak Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali manakala Pro Naib Canselor dan Provost University of Nottingham Prof Chris Ennew mewakili universiti British itu.

Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan UKM (PPUKM) Prof Datuk Dr Raymond Azman Ali dan Ketua Bahagian Pemulihan dan Perusiaan, Pusat Perubatan University of Nottingham Prof Marion Walker menandatanganinya sebagai saksi.

Turut hadir Ketua Jaringan Industri dan Masyarakat PPUKM Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dan Pengarah Pusat Perhubungan Antarabangsa (UKM Global) Prof Madya Dr Yazrina Yahya.

Upacara itu dilangsungkan sempena Bengkel Penjagaan Jangka Panjang Pesakit Stroke anjuran bersama kedua universiti itu yang bermula di sini hari ini.

Prof Imran yakin lebih banyak lagi kerjasama demikian dapat diusahakan antara kedua universiti itu sambil menyorot kepada kerjasama antara mereka beberapa tahun lalu.

Prof Ennew pula berkata MoU itu adalah wajar sambil berharap kerjasama praktikal yang berfaedah dapat juga diusahakan antara mereka.

Beliau berharap penyelidikan mengenai serangan strok dapat ditingkatkan dengan wujudnya perjanjian itu untuk menggalakkan lebih ramai pengkaji klinikal menceburi bidang penjagaan pesakit stroke yang berusia lanjut.

Prof Ennew berkata minatnya terhadap penyakit itu berpunca dari pengalaman peribadinya apabila seorang ahli keluarganya kini terlantar kerana lumpuh akibat serangan stroke.

Bengkel dua hari itu dibiayai antaranya oleh LifeCycle Initiative of United Kingdom dan beberapa program penjanaan dana seperti ‘Larian Strok’ oleh kampus University of Nottingham di Malaysia yang diaturkan oleh Prof Walker.
ukmnewsportal-bm