Kerjasama UKM Dengan Dua Institusi Pengajian Tinggi Uzbekistan Kukuhkan Hubungan Malaysia-Uzbekistan
Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman
BANGI, 14 APRIL 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan International Islamic Academy of Uzbekistan dan Tashkent State University of Oriental Studies bagi mengukuhkan lagi hubungan antara UKM dan kerajaan Malaysia dengan institusi pendidikan tinggi di Uzbekistan.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat), Prof Dato’ Norazah Mohd Nordin, kerjasama antara UKM dengan institusi pendidikan tinggi di Uzbekistan telah terjalin sejak 12 tahun lalu melalui jaringan perkongsian pelbagai sektor.
Tambahnya, jalinan kerjasama strategik ini memberi fokus kepada jaringan penyelidikan, mobiliti pelajar, dan pertukaran pensyarah kedua-dua negara.
Pengarah Institut Islam Hadhari (Hadhari) Prof Dr. Fariza Md Sham, berkata kerjasama ini juga memberi peluang kepada UKM bagi memartabatkan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa mewujudkan Kursi Bahasa Melayu di Tashkent State University of Oriental Studies.
“Inisiatif ini masih dalam perbincangan dan akan cuba dilaksanakan dalam masa terdekat kerana di Tashkent State University of Oriental Studies sudah ada subjek bahasa Melayu,” katanya.
Turut hadir, Sidikov, Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Datuk Mohamad Abd Razak, dan Naib Canselor Prof Dato’ Ts Mohd Ekhwan Toriman.
Sementara itu, kedua-dua rektor dari International Islamic Academy of Uzbekistan dan Tashkent State University of Oriental Studies, Prof. Dr. Mr. Muzaffar Kamilov dan Prof. Dr. Gulchekhra Rikhsieve hadir secara dalam talian bagi menandatangani MoU tersebut.