Kerjasama UKM dengan Republik Uzbekistan Terjalin Sejak 13 Tahun Lalu
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 17 Mac 2021 – Kerjasama yang terjalin antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Republik Uzbekistan telah terjalin sejak 13 tahun lalu melalui jaringan perkongsian dalam pelbagai sektor.
Pada 30 Mac 2018, UKM telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan The “ISTEDOD” Foundation of the President of the Republic of Uzbekistan bagi menjalankan Program Kursus Pendek Pentadbiran Awam untuk pegawai tinggi Uzbekistan.
Bagi meneruskan kerjasama yang telah terjalin ini, UKM melalui Institut Islam Hadhari dengan kerjasama Center of Islamic Civilization (CISC) in Uzbekistan dan International Islamic Academy of Uzbekistan, akan mengadakan Seminar on Scholars of Islamic Civilization (2021) yang akan diadakan secara dalam talian pada pada 8 – 9 April ini.
Menurut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad, seminar itu akan mengetengahkan sumbangan besar para sarjana Islam awal di Uzbekistan kepada peradaban umat manusia.
“Bidang fokus seminar ini adalah peradaban Islam (teologi, hadis, undang-undang Islam, tasawuf, sejarah, falsafah) dan sains moden (matematik, astronomi, sains, perubatan),” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan CISC, baru-baru ini.
Dengan pemeteraian memorandum tersebut, katanya, beliau percaya kedua-dua institusi itu mempunyai banyak peluang untuk meneruskan bekerjasama.
“Kedua-dua pihak akan terlibat dalam banyak aktiviti penting seperti mengembangkan platform akademik untuk kakitangan, penyelidik, pelajar pascasiswazah dan kedoktoran; menjalin kerjasama strategik melalui penyelidikan bersama dan penerbitan antarabangsa; menganjurkan seminar dan persidangan antarabangsa; memudahkan lawatan profesor dan pensyarah, dan mempromosikan pertukaran pelajar dan sangkutan ahli akademik antara institusi,” katanya.
Beliau yakin melalui usaha dan komitmen itu, kedua-dua institusi akan dapat mencapai lebih banyak kerjasama dan membina persahabatan dan hubungan yang lebih erat antara Republik Uzbekistan dan Malaysia.
“Saya berharap untuk melihat kejayaan dan keberhasilan melalui pemeteraian MoU ini dan semoga kita semua dilimpahkan dengan kebahagiaan dan kesihatan yang baik,” katanya.