Kerjasama UKM dengan Yakin Medic dan Ruskinn Technology Ltd. Tingkatkan Penyelidikan Sel Stem


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 11 September 2020 – Kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi Pusat Kajian Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif (CTERM) dengan YAKIN Medic Sdn Bhd (YAKIN Medic) dan Ruskinn Technology Ltd. dapat meningkatkan penyelidikan sel stem, tisu kejuruteraan dan perubatan regeneratif dalam memberikan alternatif kepada penyelesaian kontemporari.

Naib Canselor, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, kerjasama seperti ini akan dapat mempromosikan produk penyelidikan dan teknologi terkini di lapangan untuk dibawa kepada masyarakat.

“Sebagai universiti penyelidikan, UKM telah mengundang pelbagai pihak untuk turut serta dalam kolaborasi sama ada secara langsung atau tidak langsung, terutama dalam menjalankan penyelidikan sel stem dan membawa penyelidikan ini untuk penggunaan klinikal. 

“Dengan teknologi dan kemahiran yang dimiliki oleh kedua belah pihak, sumber, data dan maklumat mengenai penyelidikan perubatan akan dapat dikongsi dan dihasilkan sebagai nilai tambah,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Contract Manufacturing Agreement antara UKM dengan kedua-dua agensi tersebut di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.

Beliau berharap melalui kerjasama itu, kaedah alternatif yang selamat, cekap dan berkesan dapat dikembangkan dan dihasilkan melalui perkongsian kepakaran dalam bidang masing-masing. 

Perjanjian itu bertujuan untuk memberi kemudahan kepada YAKIN Medic menggunakan bilik bersih bertaraf cGMP (Current Good Manufacturing Practices) di CTERM bagi menghasilkan produk sel stem yang berada pada tahap yang baik, berkualiti dan bertaraf GMP (Good Manufacturing Practices) kepada pengguna.

CTERM merupakan salah sebuah pusat rujukan bagi penyelidikan dalam bidang kejuruteraan tisu dan perubatan regenerative serantau. 

Makmal Teknologi Tisu Sel CTERM adalah makmal yang mempunyai clean room termaju dan dilengkapi dengan peralatan yang sentiasa dipantau dan dikalibrasi secara terkawal.

YAKIN Medic adalah sebuah syarikat penyedia sel stem hidup aktif yang terkemuka di Malaysia, yang memberi tumpuan terutamanya pada penyediaan terapi sel stem ke klinik dan hospital estetik terkemuka di seluruh dunia. Syarikat ini turut menjalankan kerjasama dengan penyelidik perintis di seluruh dunia dalam industri perubatan regeneratif dan terkehadapan dalam pembangunan teknologi canggih dan termaju.