Kerjasama UKM-GSB dengan Institusi Perbankan Bantu Pelajar Dapatkan Pembiayaan Pelajaran
Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh Ikhwan Hashim
PUTRAJAYA, 26 Januari 2022 – Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) menjalankan kolaborasi dengan beberapa institusi perbankan bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan perkhidmatan yang disediakan untuk pelajar yang menyambung pengajian tinggi di UKM.
Kerjasama itu adalah melibatkan syarikat-syarikat perbankan Malaysia seperti Malayan Banking Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Affin Bank Berhad, Bank Muamalat Berhad dan Alliance Bank Berhad.
Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata kerjasama yang terjalin itu akan memberikan kemudahan pembiayaan pengajian di UKM-GSB bagi program-program pascasiswazah perniagaan seperti Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Falsafah Kedoktoran dan Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan.
“Pakej pembiayaan ini adalah berbeza dari bentuk pinjaman peribadi, dan pelbagai model bayaran semula disediakan bergantung kepada bank yang dipilih.
“Pelajar yang berminat untuk mendapatkan pembiayaan pengajian hendaklah mendaftar dan mendapat surat tawaran GSB terlebih dahulu sebelum memohon kemudahan daripada bank yang dipilih,” katanya.
Sementara itu, UKM-GSB turut melancarkan logo baharu GSB yang menjadi penyuntik semangat warga fakulti. Selain itu, GSB turut melancarkan 13 buah buku ilmiah hasil nukilan pensyarah-pensyarah GSB.
Pelancaran logo baharu dan buku-buku tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed di DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside Hotel, di sini, semalam.
Buku-buku itu terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran seperti pengurusan sumber manusia, pengurusan kewangan dan pengurusan pemasaran.
Majlis ringkas yang meraikan tiga objektif utama itu diharapkan dapat meningkatkan lagi semangat GSB dalam usaha menjadi sebuah pusat pengajian pascasiswazah perniagaan.bertaraf dunia.