Kerjasama UKM-JPK Buka Peluang UKM Terlibat dengan Dasar Kerajaan
Oleh Nurhairani Syam Lahmuddin dan Asmahanim Amir
Foto oleh Ikhwan Hashim dan Shahiddan Saidi
BANGI, 6 September 2021 – Kerjasama yang terjalin antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) akan membuka peluang kepada UKM untuk terlibat sama dengan dasar kerajaan bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM akan sentiasa menyokong pelaksanaan transformasi TVET untuk menghadapi cabaran baharu Revolusi Industri Keempat dan munculnya Ekonomi Digital yang digelar oleh banyak pihak sebagai industri masa depan.
“Saya bangga kerana kerjasama ini telah membuka peluang kepada UKM untuk terlibat sama dengan dasar kerajaan bagi program TVET yang merupakan teras kedua dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk meningkatkan pembangunan sumber manusia dan menjadikan transformasi TVET sebagai tumpuan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Memandatangni Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan JPK, baru-baru ini.
Beliau yakin kerjasama itu akan membuka peluang besar kepada kedua-dua pihak dalam bidang TVET dan menggalakkan inovasi dalam bidang sains sosial melalui penyelidikan dan perundingan serta mencapai hasrat UKM sebagai universiti watan untuk memasyarakatkan penyelidikan yang dijalankan bagi manfaat masyarakat dan negara.
“Diharapkan para pelajar prasiswazah dan siswazah yang berjaya memasuki program SLDN (Sistem Latihan Dual Nasional) ini mampu meningkatkan kebolehpasaran dan kerjaya berkemahiran tinggi dalam bidang sains sosial.
“Semoga kerjasama antara UKM dengan JPK ini akan berterusan dan dapat diperluaskan lagi dalam bidang-bidang yang lain pada masa akan datang,” kata beliau.
Kerjasama itu dirangka bagi memenuhi keperluan berdasarkan permintaan daripada Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan kompeten dalam bidang sains sosial di peringkat lokal dan global.
Kematangan kerjasama yang telah dijalankan antara UKM dan JPK adalah melalui beberapa aktiviti yang memberi manfaat kepada kakitangan JPK dan pensyarah UKM. Antaranya melaksanakan pendaftaran UKM sebagai Pusat Latihan SLDN, melaksanakan Program TVET Fellowship (CIAST), dan pensijilan profesional untuk TVET.
MoU itu ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan Toriman yang mewakili UKM, manakala Kementerian Sumber Manusia diwakili oleh Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Dato’ Ts. Zaihan Shukri.