Kerjasama YADIM dan IPT Tingkatkan Usaha Dakwah dalam Masyarakat


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

PUTRAJAYA, 24 September 2020 – Kerjasama yang terjalin antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dan Institusi Pondok melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) adalah bagi merancang dan melaksanakan usaha dakwah dalam senario Malaysia pada masa kini.

Menteri Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, Inisiatif YADIM melalui kolaborasi ini secara langsung akan menyediakan platform yang dapat dioptimumkan oleh pihak-pihak yang terlibat bagi tujuan penyebaran maklumat, perkongsian ilmu dan kepakaran dalam lingkup capaian yang lebih luas.

“Apa yang diusahakan pada hari ini adalah bersesuaian dengan hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan bahawa universiti perlu menjadi sebahagian daripada komponen ekosistem masyarakat serta memberi pengukuhan bukan sahaja kepada masyarakat setempat, malahan dunia.

“Institut pengajian tinggi tidak harus lagi bersifat eksklusif dan terasing daripada masyarakat. Banyak ruang penyelidikan yang boleh dikembangkan. Oleh itu, hala tuju penyelidikan perlu sejajar dengan cabaran semasa serta mampu mengupas persoalan yang dihadapi oleh masyarakat setempat mahupun sejagat,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani MoU antara YADIM dengan IPT Malaysia dan Institusi Pondok, di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah yang diambil oleh YADIM dalam menjalankan kolaborasi itu adalah tepat kerana kerjasama itu akan menjadi platform penyaluran maklumat dan pusat repositori subjek yang berkaitan dengan dakwah dalam masyarakat, hasil kajian dan penyelidikan, pemikiran para ilmuwan, pengkaji, penyelidik dan cendekiawan akan dapat disebarkan kepada umum dengan lebih tersusun dan berfokus. 

“Saya percaya institusi pengajian yang terlibat pada hari ini amat berbesar hati dengan kerjasama yang diwujudkan ini. Kesediaan YADIM melibatkan institusi pengajian dalam pengembangan dakwah di Malaysia merupakan pengiktirafan kepada keupayaan serta kemampuan institusi akademik serta peranan yang mampu mereka mainkan dalam pembangunan ummah dan negara,” katanya.

Tambah beliau, skop kerjasama antara institusi-institusi tersebut bukan sahaja tertumpu kepada bidang penyelidikan, tetapi merangkumi penerbitan, kepemimpinan, khidmat masyarakat dan sukarelawanan, pendidikan, latihan dan pembangunan bakat, seminar, forum dan sebagainya. 

“Begitu banyaknya bidang dan ruang yang dapat diterokai dan digembleng bersama-sama untuk manfaat semua pihak,” ujarnya.

Sementara itu Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan berkata, kerjasama dalam pembangunan dakwah tersebut dapat melonjakkan kesedaran masyarakat dalam membina kesatuan pemikiran dan strategik dakwah dalam kalangan akademik dengan penggerak dakwah dalam dan luar negara. 

“Kerjasama yang melibatkan pensyarah, tokoh-tokoh ulama, sheikh pondok dan mahasiswa adalah merangkumi bidang pendidikan, sosial dan kebajikan.

“Usaha dakwah sebagai agenda pembangunan negara perlu melibatkan semua pihak, dan tidak dibebankan kepada pihak-pihak tertentu sahaja. Pelbagai pihak perlu bersama-sama memainkan peranan, apatah lagi IPT dan Institusi Pondok kerana dari sinilah lahirnya pemikiran, kepakaran dan tenaga yang lengkap dari segi akhlak dan kemahiran,” katanya.

Selain Universiti Kebangsaan Malaysia, institusi lain yang turut terlibat dalam kerjasama tersebut ialah Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah.

UKM telah diwakili oleh Naib Canselor, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor dan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Prof Dr Wan Kamal Mujani.