Kerjaya Mahasiswa Bermula Dengan Semangat Kesukarelwan – Dato’ Saifuddin


Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi
Foto Izwan Azman

BANGI, 23 Mei 2020 – Kerjaya seorang mahasiswa adalah bermula dengan memupuk dan membina sahsiah diri dalam kesukarelaan ketika menjalankan program sukarelawan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah.

“Kebanyakan graduan adalah fresh, iaitu mereka tiada pengalaman dalam pekerjaan. Tetapi kebanyakan majikan sekarang ini hanya mengambil pekerja yang mempunyai pengalaman. Jadi, majikan akan menilai graduan baharu berdasarkan penyertaan mahasiswa dalam aktiviti sukarelawan,” katanya pada Program Salam Aidilfitri Bersama Sukarelawan COVID-19 UKM.

Beliau berkata sukarelawan yang dianggap sebagai sukarelawan yang profesional adalah mereka yang menggunakan kepakaran ilmu dalam bidang masing-masing untuk membantu dan berbakti kepada masyarakat.

“Contohnya mahasiswa yang mengambil bidang kejuruteraan, menggunakan ilmu kejuruteraanya dalam membantu orang kampungnya dalam hal-hal tertentu,” kata beliau.

Program Sukarelawan COVID-19 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Alumni Mahsiswa Turun Parlimen (MANTAP) dengan kerjasama KS Atelier dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan adalah bertujuan untuk menyediakan peralatan perlindingan diri (PPE) secara percuma, khususnyan bagi pusat perubatan dan hospital di sekitar Lembah Klang.

Program Sukarelawan COVID-19 memberi peluang kepada golongan muda khususnya mahasiswa UKM yang tidak pulang ke kampung sepanjang tempoh PKP untuk mereka menceburi dan mencari pengalaman dalam kemahiran menjahit.

Sukarelawan dari UKM ini terdiri daripada 25 orang mahasiswa dan sebilangan daripada mereka adalah pelajar mobilti dari Indonesia yang terkandas di negara ini sejak dua bulan yang lalu akibat daripada pelaksanaan PKP.