Keseimbangan Gender Perlu Dalam Lahirkan Masyarakat Lebih Berjaya- Nurul Izzah
Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 9 April 2019- Dalam perkembangan ekonomi dan pertumbuhan minda, sumbangan kepakaran graduan wanita dilihat penting dalam melahirkan masyarkat jauh lebih berjaya, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Beliau berkata, sumbangan kepakaran graduan wanita mampu mencapai masyarakat yang lebih penyayang melalui dasar keseimbangan gender.
“Wanita perlu diberi ruangan untuk memilih sama ada mahu menjadi suri rumah, suri hati atau wanita bekerjaya, dan jangan kita mencemuh dan menilai (judgement) dengan pilihan yang mereka buat.
“Saya tak mahu kita hanya melihat mereka (wanita) yang berada di tangga teratas (authority) sahaja. Bagaimana pula dengan wanita contohnya pelarian atau wanita yang terperangkap dalam kumpulan B40? Adakah mereka tidak boleh diwakilkan dan mendapat tempat dalam arus perbincangan kita? Anda hanya boleh mengatakan bahawa anda dapat memperkasakan wanita jika anda boleh membantu setiap wanita,” katanya semasa ucaptama Leadership Walk Sempena Hari Wanita Antarabangsa 2019 Peringkat UKM di Bangunan Pusanika, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), Prof Datin Dr Norizan Abd Razak berkata, dalam mencapai sasaran Gagasan Matlamat Pembangunan Lestari sebagai persediaan memenuhi 30 peratus komposisi wanita muda dalam sektor awam dan korporat ia dilihat masih lemah.
“Isunya disini adalah disebabkan oleh kekangan keluarga, akhirnya karier menjadi pilihan kedua bagi wanita.
“Walaupun dengan berkeluarga, anda (wanita) boleh berjaya dalam karier dengan adanya bantuan dan sokongan dari pihak tadika atau pembantu rumah (untuk menjaga anak) kerana mereka dapat membantu suami memahami kehendak isteri seterusnya dapat mengurangkan stereotyping, katanya.
Katanya, beliau berharap program Leadership Walk dapat membawa kesedaran dan memberi satu semangat dalam melahirkan lebih banyak pemimpin-pemimpin muda dan pemimpin-pemimpin pelapis untuk menjawat jawatan tinggi di masa hadapan.