Ketumbuhan Kelenjar Air Liur Seberat 3 Kg Berjaya Dikeluarkan


Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

Pakar bedah kanser kepala dan leher di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof. Dr. Mohd. Razif Mohamad Yunus berjaya menjalankan pembedahan bagi mengeluarkan ketumbuhan kelenjar air liur seberat tiga kilogram daripada leher seorang pesakit.

Beliau yang juga merupakan profesor di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata pembedahan ketumbuhan yang bersaiz 20cm x 30cm itu merupakan antara yang terbesar yang pernah dijalankan oleh beliau dan pasukannya.

Menurutnya, ketumbuhan kelenjar air liur pesakit tersebut melalui proses pembesaran secara perlahan-lahan selama lapan tahun, dan pesakit mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan kerana sukar untuk menunaikan ibadah solat.

Pembedahan yang berjalan selama lima jam itu berjaya dilakukan tanpa sebarang komplikasi.

“Pembedahan ini melibatkan pesakit berumur lebih 60 tahun, jadi pasukan kami perlu mengambil kira pelbagai faktor risiko seperti keadaan jantung dan paru-paru pesakit.

“Pendarahan yang berlebihan juga dikhuatiri berlaku apabila mengendalikan pembedahan ketumbuhan bersaiz besar.

“Kepakaran yang tinggi dan instrumen yang sesuai amat penting untuk mengelakkan terkena saraf muka dan pembuluh darah yang menyalurkan darah ke otak dan jantung,” katanya.

Beliau menggunakan pisau bedah Harmonic yang mempunyai teknik penggunaan lebih mudah, dapat mengurangkan pendarahan, mempercepatkan masa pembedahan, seterusnya memastikan pesakit cepat sembuh.

Tambah Dr. Mohd. Razif, ketumbuhan kelenjar air liur dikategorikan kepada dua iaitu bukan barah (benign) ataupun barah (malignant).

“Dalam kes ini, pesakit mempunyai ketumbuhan bukan barah. Walau bagaimanapun, ia boleh memudaratkan pesakit jika saiznya semakin membesar.

“Sekiranya ketumbuhan semakin besar, ia boleh menghalang salur makan, salur pernafasan dan seterusnya mengakibatkan sesak nafas.

“Ketumbuhan ini berpunca dari kelenjar air liur parotid atau submandibular yang terletak di bahagian muka berdekatan dagu,” katanya.

Jelasnya, kajian terhadap ketumbuhan akan dibuat terlebih dahulu bagi menentukan sama ada sel tersebut bersifat agresif atau tidak.

“Jika didapati sel yang dijangkiti bersifat ganas maka, pembedahan hendaklah dijalankan secepat mungkin kerana ia akan membesar dengan cepat dan mempunyai potensi untuk merebak ke saraf muka yang boleh membuatkan muka menjadi herot,” tambahnya.

Menurut beliau, punca sebenar pembentukan ketumbuhan kelenjar air liur belum dapat ditentukan.

“Ia tidak ada kena mengena dengan genetik atau pemakanan dan gaya hidup seseorang. Namun, hal ini boleh dielakkan dengan mengenali tanda dan gejala awal kehadiran ketumbuhan kelenjar air liur.

“Jika terdapat benjolan atau ketulan di bahagian muka atau leher, hendaklah segera dapatkan rawatan atau konsultasi. Dengan pengesanan awal, ketumbuhan dapat diperiksa untuk menentukan sama ada ia memerlukan rawatan yang segera ataupun tidak,” katanya.

Sekiranya saiz ketumbuhan kecil, jelasnya, risiko pembedahan juga rendah dengan pelbagai komplikasi dapat dielakkan.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak takut untuk mendapatkan pemeriksaan pakar perubatan sekiranya terdpat tanda-tanda ketumbuhan di bahagian muka atau leher.