KITA-UKM dinaik taraf Sebagai Institusi Kebangsaan adalah Wajar
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 24 Nov 2017 – Tindakan kerajaan dalam menaik taraf Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah sangat wajar bagi meningkatkan kajian mengenai pendidikan sosioekonomi kebangsaan.
Pengarah KITA, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata keharmonian keluarga adalah tunjang kepada kesepaduan sosial.
“Unit keluarga adalah pusat Negara. Tidak ada masalah sosial yang tidak bermula dari keluarga,” katanya.
Beliau berkata kerajaan membuat langkah yang betul dengan merancang untuk menubuhkan Institut Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERI) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“SERI akan mengkaji dan menilai keberkesanan dasar, pelaksanaan program dan projek pembangunan. Manakala KITA menyelaraskan kajian mengenai pendidikan sosioekonomi kebangsaan dan mewujudkan indeks pembangunan sosial Negara.
“Kita perlu tahu apa sebenarnya keadaan di Malaysia dan hibridkan organisasi kerajaan dalam menangani masalah sosial dengan lebih berkesan,” jelasnya.
Katanya adalah penting untuk mengetahui jenis kekeluargaan di Malaysia, sama ada berkeluarga atau ibu tunggal.
Beliau berkata demikian ketika mengulas Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkenaan pengumuman menaik taraf KITA sebagai institusi kebangsaan.
Kedua-dua institusi (KITA dan SERI) mencakupi aspek kerohanian dan jiwa, nilai-nilai murni serta program berbudaya tinggi untuk membina jati diri generasi TN50 bagi menangani gejala sosial.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata lazimnya kita selalu bercakap tentang pembangunan, program kemajuan dalam pertubuhan, institusi dan sebagainya.
“Bila dengar heart and soul, duniawi dan ukhrawi, saya ingat ini satu peringatan yang besar kepada rakyat Malaysia bahawa we don’t want to underestimate the importance of maintaining social strength,” katanya.
Katanya beliau percaya dengan kekuatan, kepakaran dan kesarjanaan yang ada pada KITA, segala apa yang dirancang dalam memastikan kajian sosio-ekonomi kebangsaan tercapai.