KNovasi Jadi Pemacu Evolusi Dunia Pendidikan
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 18 Ogos 2021 – Kongres dan Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (KNovasi) yang diadakan sejak tujuh tahun lepas adalah pemangkin untuk terus memacu evolusi dalam dunia pendidikan, kata Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Mohd Ekhwan Toriman.
Beliau berkata dengan tema “Evolusi ke Arah Pembelajaran Tanpa Sempadan: Langkah ke Hadapan” KNovasi 2021 bertepatan dengan situasi pendidikan negara selepas dilanda pandemik COVID-19.
“Pandemik ini telah merubah cara kita menjalani kehidupan seharian dengan mengamalkan norma baharu termasuk dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Kuliah secara fizikal, kehadiran ke kampus atau pun bilik darjah tidak lagi menjadi amalan yang wajib. Perkara ini juga menjadi satu kejutan budaya yang amat besar kepada pelajar dan mahasiswa, dan tidak kurang juga kepada warga pendidik.
“Demi memastikan kelangsungan proses penyampaian ilmu, para guru dan pensyarah serta institusi pendidikan telah bertungkus lumus membangunkan sistem dan kaedah penyampaian yang inovatif, dan ini memerlukan segala usaha dan kreativiti setiap golongan yang terlibat.
“Evolusi dan inovasi dalam P&P yang telah saya nyatakan tadilah yang ingin kita ketengah dan pertontonkan dalam kongres pada tahun ini. Saya pasti, ramai antara warga pendidik yang masih tercari-cari kaedah penyampaian P&P yang paling berkesan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pembukaan KNovasi Kali ke-7.
Beliau berkata limitasi dan masalah akses kepada internet dan peranti pintar turut menjadi cabaran kepada warga pendidik untuk mengekalkan kualiti penyampaian dan pencapaian objektif pembelajaran kepada para pelajar.
“Saya yakin dengan kupasan beberapa sub-tema yang telah digariskan dalam kongres ini iaitu Teknologi Memuncul dalam Pembelajaran Tanpa Sempadan; Amalan dan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran; Kebolehlenturan dalam Pengajaran dan Pembelajaran; Cabaran Pembelajaran Global Dalam Pendidikan; dan Pembelajaran antara Profesional, ia akan dapat menjadi medan perkongsian amalan terbaik kepada semua peserta dan pemangkin untuk terus memacu evolusi dalam dunia pendidikan,” katanya.