Kolaborasi Hubungan Industri Senibina dan Reka Bentuk Platform Terbaik Pakar Industri Berbincang – Pro Canselor


Oleh Nur Elida Najwa Mohd Subri
Foto Izwan Azman

BANGI, 25 Oktober 2018 – Majlis Kolaborasi Hubungan Industri Senibina dan Reka Bentuk adalah platform yang idea bagi pakar-pakar industri bertemu dan berbincang serta melahirkan idea-idea baru dalam bidang pembinaan.

Pro-Canselor, Tunku Laxamana Dato’ Seri Utama Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar berkata, platform itu adalah inisiatif yang bagus kerana menggabungkan kolaborasi dengan gabungan tenaga dari bidang berlainan untuk sama-sama belajar dan berkongsi ilmu pengetahuan.

Katanya, kreativiti merupakan dasar inovatif dan ianya dapat dilahirkan dengan cara pembelajaran melalui sesi praktikal dan perbincangan antara pelajar-pelajar dengan pakar-pakar industri yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

“Melalui aktiviti-aktiviti praktikal dan latihan sebenar, ia dapat memberi pendedahan kepada para pelajar untuk mendalami pengetahuan mereka selain dari apa yang mereka baca melalui buku atau online.

“Kolaborasi ini amat berkesan untuk menambah baik pembelajaran secara teori dengan pendedahan sebenar apabila pelajar mula bekerja,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Kolaborasi Hubungan Industri Binaan dan Rekabentuk di Kelab Golf Danau, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, beliau yakin dengan pengalaman dalam bidang perniagaan dan jaringan luar antara Pro-Canselor dengan pakar-pakar industri akan memberikan manfaat yang sangat bermakna kepada UKM.

“Sememangnya menjadi hasrat UKM untuk membina jaringan dan perkongsian pintar dengan pihak industri yang merentasi asas pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, khidmat komuniti, perundingan serta keterlibatan yang bermanfaat kepada sumber manusia dan pelajar UKM,” katanya.

Katanya, UKM dengan prinsip keterbukaan dalam pelbagai aspek terutamanya dalam perkongsian ilmu dan kepakaran sentiasa bersedia menyambut serta mengalu-alukan kerjasama dengan industri untuk menjalinkan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Pada majlis tersebut, Syarikat Cypark Resources Berhad dan syarikat niaga yang lain membuka peluang kepada pelajar-pelajar UKM untuk memohon latihan industri di syarikat-syarikat milik mereka.

Program latihan industri itu merupakan salah satu inisiatif dan cara efektif untuk pelajar menimba pengalaman yang terbaik.