Kolaborasi UKM-FUJIFILM Tekankan Kualiti Penyelidikan, Akademik dan Pengantarabangsaan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan hashim

KUALA LUMPUR, 25 Julai 2019 – Buat pertama kalinya, FUJIFILM Asia Pacific Pte. Ltd berkolaborasi bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berfokuskan kepada kepakaran terhadap House of Quality UKM dalam menekankan kualiti, terutamanya dalam penyelidikan, akademik dan pengantarabangsaan.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata kualiti sememangnya merupakan salah satu disiplin utama dalam usaha meningkatkan profil universiti.

“Saya sangat bangga melihat komitmen UKM dan FUJIFILM Asia Pacific Pte. Ltd untuk menjalin kerjasama yang lebih erat bagi mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi yang lebih kondusif untuk membantu dalam kecemerlangan akademik dan institusi ini. Perjanjian ini merupakan tonggak penting dalam kerjasama berterusan kita.

“Ini menawarkan peluang yang baik dalam meluaskan pendidikan dan latihan antara institusi kita, terutama pada perkembangan terbaru dalam bidang pengimejan diagnostik dan radioterapi melalui pendidikan berterusan,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan FUJIFILM Asia Pacific Pte. Ltd., baru-baru ini.

Beliau berkata MoU itu ditandatangani bagi memberi kerjasama dengan lebih rapat ke arah mencapai matlamat universiti iaitu usaha mendapatkan kepakaran dan teknologi pengimejan terkini kepada pelajar, pensyarah dan staf sokongan UKM.

“Setiap pihak akan menjalankan tugas penting, seperti mengadakan Pelanjutan Pendidikan Perubatan (CME), dan juga menyediakan peluang penyelidikan dan latihan industri,” tambahnya.

Sementara itu, Pengurus Teknikal Serantau Asia Pasifik Global FUJIFILM Tokyo, Katsuno Nishi berkata kerjasama dengan UKM itu adalah langkah pertama bagi mereka dan mereka amat bangga untuk melihat kolaborasi pada tahap seterusnya.

“Sebagai syarikat antarabangsa, kami memiliki produk pengimejan diagnostik seperti radiografi komputer, radiografi digital, mamografi dan pengimejan ultrasound. Kami berusaha untuk membantu profesional perubatan di seluruh dunia untuk mencegah, mendiagnosis dan merawat keadaan dengan lebih baik.

“Hari ini, kami melihat masa depan perubatan regeneratif bidang penjagaan kesihatan, dan kami tidak akan berhenti membangunkan lebih dari 80 tahun inovasi untuk membantu menjadikan planet kita tempat yang lebih cerah dan sihat,” tambahnya.