Kolej Swasta dan Politeknik Perlu Semarakkan Bidang Kesusasteraan – Menteri Pendidikan
Oleh Asmahanim Amir dan Inaara Aznan
Foto oleh Shahiddan Saidi
BANGI, 19 November 2018 – Bagi menyemarakkan semula kesusasteraan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), kolej-kolej swasta dan Politeknik-Politeknik di seluruh negara perlu mengadakan program-program yang melibatkan kesusasteraan seperti program Himpunan Penulis Malaysia yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, program-program kesusasteraan tidak boleh dipinggirkan bagi memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
“Bukan hanya di IPT sahaja, malah sekolah-sekolah juga tidak boleh meminggirkan program seperti ini. Kita tidak mahu pelajar menganggap sastera adalah subjek yang low class sebaliknya kita mahu jadikan sastera pilihan utama pelajar seperti juga bidang sains,” katanya semasa sesi Dialog Awam Bersama Menteri Pendidikan pada Majlis Himpunan Penulis Malaysia di Panggung Seni, Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).
Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan telah mempunyai perancangan untuk menggabungkan sastera dan sains dalam era Malaysia baharu.
“Salah satunya, kita akan hidupkan kembali TV Pendidikan secara percuma, seperti yang pernah diadakan suatu masa dahulu.
“Kita juga akan pastikan penulisan sasterawan akan sampai ke semua perpustakaan sekolah dan universiti termasuk di kolej swasta,” ujarnya.
Dialog yang dikendalikan oleh Syed Munawad Syed Mustar sebagai moderator bertujuan untuk memberi laluan kepada penulis-penulis negara memberi pandangan dan cadangan bagi membangunkan serta menuntut hak-hak penulis kepada Dr. Maszlee.
Program tersebut anjuran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), UKM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku (PKB) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).