Kolej Tun Hussein Onn Johan Debat Naib Canselor 2015
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 8 Okt 2015 – Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) merangkul johan dalam Pertandingan Akhir Debat Naib Canselor 2015 yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) pada 5 Oktober lepas.
Dalam pertandingan tersebut, KTHO selaku pihak kerajaan telah menegakkan usul ‘Kebolehpasaran Mahasiswa: ICGPA Adalah Jawapannya’ dan usul itu telah diterima menyebabkan Kolej Pendeta Za’ba (KPZ) terpaksa berpuas hati ditempat kedua.
Muhammad Tassim Zainal yang merupakan pelajar tahun satu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dari KTHO telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik.
Beliau berkata kejayaan pasukannya itu adalah hasil kerjasama yang sangat baik yang telah diberikan oleh ahli pasukan.
“Kami perlu banyak membaca dan sentiasa mencari bahan bagi memastikan setiap isu yang diberikan dapat diketengahkan dengan baik. Apa yang penting perlu faham bahawa sesuatu isu ada masalah dan penyelesaiannya,” katanya ketika ditemui Portal Berita selepas majlis berakhir.
Beliau berkata walaupun sebelum ini beliau merupakan pendebat sekolah, tetapi suasana di sekolah dan di universiti adalah berbeza.
“Saya akui bahawa isu-isu yang diketengahkan dalam debat di universiti adalah isu-isu yang lebih berat dan mementingkan ilmu dan fakta,” katanya.
Apabila ditanya tentang kejayaan pasukannya, beliau memberitahu bahawa kemenangan yang sebenar adalah bukan kemenangan atas piala itu tetapi mendapat pengalaman, mendapat ilmu dalam memperjuangkan sesuatu perkara.
“Kita jangan berdebat hanya untuk menang tapi bagaimana kita menyampaikan sesuatu isu supaya orang faham apa yang kita sampaikan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal ketika membacakan teks ucapan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata pertandingan debat tersebut diadakan bagi mencungkil bakat-bakat baru pengucapan awam dalam kalangan mahasiswa UKM.
“Ia mampu mencungkil bakat-bakat mahasiswa terutamanya dalam menguasai kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan analitikal di samping memperkasakan teknik penyampaian hujah-hujah secara rasional.
“Pemikiran ini juga membolehkan para peserta menjadi lebih responsif terhadap isu-isu semasa yang diperdebatkan,” katanya.
Prof Noor Aziah turut memberitahu bahawa ruang pembelajaran di UKM tidak terhad kepada kuliah-kuliah harian sahaja sebaliknya UKM membuka ruang yang banyak untuk mahasiswa meningkatkan kemahiran kendiri.
“Apa yang penting adalah bagaimana anda (mahasiswa) berusaha untuk menjadi mahasiswa cemerlang dan pertandingan debat ini adalah contoh yang boleh memberi ruang dan peluang kepada anda untuk mempelajari sesuatu kemahiran dan meningkatkan keterampilan diri sebagai seorang mahasiswa,” tambah beliau.