Kompleks Alumni Simbolik Kebanggaan UKM
Oleh Siti Aishah Mohd Yusof
Foto Izwan Azman
Bangi, 24 Ogos 2022 – Sebuah Kompleks Alumni UKM akhirnya bakal dibina menjelang Oktober tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM2.2 juta. Tidak hanya menjadi satu simbolik kebanggaan buat UKM, malah dengan terbinanya kompleks ini, maka secara langsung menandakan betapa kukuh dan utuhnya hubungan UKM bersama alumni mereka.
Kompleks yang akan turut menempatkan Pusat Perhubungan Alumni ini, diharap menjadi tempat pertemuan dan pintu masuk para alumni ke UKM, kata Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman.
Beliau berkata pintu sentiasa terbuka kepada alumni untuk turut memanfaatkan kompleks ini sebagai Kelab Rekreasi. Malah sebelum ini juga, pelbagai program telahpun dilaksanakan dengan penglibatan alumni-alumni UKM.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Madya Dr. Suzeren Md Jamil berkata dengan terbinanya Kompleks Alumni ini nanti, ianya akan dapat mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara alumni dan juga universiti.
Kompleks ini akan menempatkan beberapa ruang penting seperti Pejabat Pentadbiran Pusat Perhubungan Alumni UKM, Pusat Operasi Alumni dan Ruang Komersil.
Semoga dengan terbinanya Kompleks Alumni UKM ini menjadi pencetus kepada lebih banyak gerakan aktiviti yang melibatkan alumni dan warga UKM dalam membentuk rasa kesepunyaan di kalangan ahli dan seterusnya memacu dan memecutkan university ini menggapai kegemilangan di mata dunia dan juga cemerlang di hati masyarakat.