Kompleks Kriket Bertaraf Dunia RM1.4 Juta Di UKM
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 27 April 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan memiliki Oval dan Astaka Kriket bertaraf antarabangsa bernilai RM1.4 juta yang ditaja oleh Yayasan Sime Darby (YSD).
Kompleks Kriket baru itu yang dinamakan UKM-YSD Cricket Oval akan menyertai barisan dua lagi kemudahan bertaraf dunia di Malaysia, iaitu Kompleks Bayuemas di Klang, Selangor, dan Kinrara Cricket Oval di Kuala Lumpur untuk menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa, kata Presiden dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh.
Kata beliau UKM-YSD Cricket Oval akan mempunyai satu blok wiket diperbuat daripada rumput asli yang diiktiraf oleh Majlis Kriket Antarabangsa (ICC), sebuah astaka Kriket yang boleh memuatkan 300 orang, dua bilik persalinan untuk pasukan, bilik VIP, dewan makan dan dua surau.
“Pembinaan Oval dan Astaka Kriket ini adalah selaras dengan teras utama Yayasan Sime Darby iaitu teras belia dan sukan. Kami berazam untuk membantu menambah bilangan bakat-bakat sukan yang boleh diserapkan ke dalam pasukan atlet-atlet elit Malaysia disamping menggalakkan sukan bertaraf dunia,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan antara YSB, UKM dan Persatuan Kriket Melayu Malaysia (PKMM) di sini pada 24 April.
Katanya pembinaan padang dan astaka Kriket itu akan mengambil masa 12 bulan dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2016.
“Kami berharap agar sumbangan daripada YSD dapat membantu memberi UKM padang Kriket setaraf dengan padang Kriket di Bayuemas, Klang dan juga di Kinrara, Puchong,” katanya.
Beliau berkata pihaknya berazam untuk melahirkan lebih ramai olahragawan Kriket bertaraf dunia kerana YSD adalah penyokong kuat sukan Kriket tanah air.
Pada tahun 2007, UKM telah dipilih oleh Kementerian Pendidikan sebagai salah satu pusat kecemerlangan Kriket negara dan dari situ bermula hubungan kerjasama antara UKM dan PKMM yang mana pemain Kriket berbakat yang telah lulus dalam program Kriket negara akan diserap masuk ke pusat kecemerlangan Kriket UKM.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata perjanjian penajaan itu dibuat berdasarkan pencapaian UKM yang konsisten dan cemerlang dalam membangunkan sukan Kriket di peringkat universiti dan Negara.
“UKM juga bertuah kerana dapat menjalinkan kerjasama strategik dengan PKMM melalui pemeteraian Memorandum persefahaman yang ditandatangai pada tahun 2007.
“Bermula dari tarikh itu, UKM telah mengatur langkah untuk memantapkan pembangunan sukan Kriket dan hasilnya kini UKM merupakan antara pasukan Kriket yang terhandal di Malaysia dan disegani di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau yakin pembinaan oval bertaraf antarabangsa itu akan melengkapkan keperluan untuk menjadikan UKM sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Kriket yang terunggul di Malaysia.
“Pembinaan oval ini juga akan memenuhi keperluan untuk kemudahan latihan atlet Kriket UKM dan juga pemain-pemain Kriket Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata pihak universiti menyedari bahawa sukan memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga manusia yang cergas dan cerdas dari segi mental dan fizikal yang menjadi aset penting dalam usaha pembinaan sebuah masyarakat yang cemerlang dan berdaya saing.
“Jadi, aktiviti sukan Kriket ini dilihat sebagai satu agenda utama bagi mencapai hasrat tersebut yang telah diperkenalkan secara berperingkat sehingga kini menjadi sukan yang popular kepada mahasiswa dan kakitangan di UKM,” jelasnya.
Turut hadir pada majlis itu Pro Canselor UKM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Ahli Majlis Tertinggi YSD, Tan Sri Dato’ Dr Wan Zahid Mohd Nordin dan Timbalan Yang Dipertua Kriket Melayu, Tan Sri Wan Abdul Rahman Yaacob.