Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu Himpun 35 Resolusi
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 30 September 2022 – Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu telah berjaya menghimpun sebayak 35 resolusi yang merangkumi pemartabatan Bahasa Melayu dan tamadun Melayu di Malaysia selain mengisi aspirasi kenegaraan dan pemerkasaan Bahasa Melayu serta manca bidang tamadun menerusi pelbagai pendekatan termasuk penyelidikan dan penerbitan.
Antara resolusi yang diketengahkan adalah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mengangkat ATMA UKM sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCoE) untuk mengiktiraf kecemerlangan serta prestasi tinggi yang telah dicapai dalam bidang pengajian bahasa Melayu.
Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata penarafan ATMA sebagai HiCoE akan membuka ruang untuk ATMA melebarkan sayapnya di samping menawarkan khidmat kepada kerajaan sebagai perunding, penasihat dan penggerak kajian-kajian polisi yang berkaitan dengan dasar kerajaan.
“Kementerian Pengajian Tinggi perlu melantik UKM sebagai perunding dan penasihat dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan Program Kursi Pengajian Tamadun Alam Melayu di luar negara.
“Penarafan ini juga dapat memperkasa Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu bagi tujuan pendokumentasian dan pengembangan kearifan Alam Melayu di samping mewujudkan pusat pendigitalan khazanah ilmu alam Melayu yang tersohor di Malaysia,” katanya semasa membentangkan resolusi semasa majlis penutup Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu, di sini, semalam.
Selain itu, katanya, negara-negara di alam Melayu perlu melakukan perancangan pelan tindakan bersama melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan persatuan-persatuan untuk melaksanakan program-program pemartabatan bahasa dan tamadun alam Melayu.
“Urus Setia Program Pengembangan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi Negara-negara ASEAN dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia perlu menjadi penggerak penyelarasan langkah itu,” katanya.
Beliau berkata pengukuhan dan pengisian peranan UKM sebagai universiti watan perlu dirancang dan dilaksanakan secara berterusan dengan sokongan dan peruntukan khas oleh KPT.
Kongres yang diadakan selama dua hari itu dihadiri lebih dari 60 orang peserta dari beberapa buah negara, diadakan dengan tujuan untuk berkongsi ilmu bidang bahasa dan tamadun alam Melayu kepada masyarakat khususnya generasi muda bersama tokoh-tokoh ilmuan.
Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani hadir ke bagi merasmikan majlis penutup konres tersebut.