Kongres Budaya 2017 Mengetengahkan Hak Kepentingan Bahasa Melayu – Rais Yatim
Oleh Melissa Heidi Amir Merale
Foto Abd Raai Osman dan Ikhwan Hashim
BANGI, 26 April 2017 – Kongres Budaya 2017 yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini menekankan peranan dan hak kepentingan Bahasa Melayu serta sumbangannya dalam mewujudkan masyarakat yang berbudaya tinggi dalam melestarikan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Sejajar dengan tema Kongres iaitu ‘Budaya Tinggi Paksi Tamadun Bangsa’, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim berkata Bahasa Melayu perlu menjadi keutamaan sama ada dalam proses pengajaran dan pembelajaran atau dalam program-program yang lain.
“Kita akan mohon Ketua Pengarah Pendidikan menyokong hasrat ini agar Bahasa Melayu kehadapan,” kata beliau pada majlis tersebut.
Beliau berkata kedudukan Bahasa Melayu perlu ditegakkan sebagai bahasa induk, bahasa ilmu serta bahasa perdagangan demi menjadikan tanah air ulung apabila Bahasa Melayu diangkat martabatnya.
“Keputusan ini (resolusi) adalah hasrat, hasrat untuk kita bersatu hati,” katanya.
Resolusi tersebut mengetengahkan pandangan dan cadangan dalam menerapkan nilai budaya tinggi dalam pelaksanaan TN50 yang bakal dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja.
Antara resolusi yang dibentangkan adalah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan Majlis Raja-Raja, mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi, pengukuhan Rukun Negara sebagai tiang seri negara bangsa serta kemajuan dan pencapaian ekonomi Bumiputera.
Pada majlis itu, Tan Sri Dr Rais Yatim telah menyerahkan resolusi tersebut kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Razak Tun Abdul Razak.
Kira kira 3,000 peserta hadir pada Kongres Budaya kali ini yang terdiri daripada, jabatan kerajaan, pelajar Institusi Pengajian Tinggi, Badan Bukan Kerajaan (NGO), orang awam, para aktivis budaya, artis, karyawan dan pencinta kebudayaan.