Konsert Diraja Sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke 68 Tuanku Muhriz Mempesonakan
Oleh Engku Shariful Azni dan Vinoothene Chandrasekaran
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 2 Mac 2016 – Konsert yang berkonsepkan muzik orkestra dilangsungkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk meraikan Hari Keputeraan Ke 68 Baginda Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM.
Konsert tersebut diadakan pada 27 Febuari sebagai tanda penghargaan kepada baginda daripada seluruh warga UKM yang sentiasa memberi sokongan padu dalam menjayakan aktiviti UKM sama ada anjuran mahasiswa mahupun kakitangan.
Turut hadir dalam acara ini adalah Tunku Panglima Besar Kedah merangkap Pro Canselor UKM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali serta pengurusan tertinggi UKM.
Acara tersebut diserikan dengan kumpulan Orkestra Kuala Lumpur (OKL) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan mempersembahkan pelbagai lagu gubahan semula oleh Felo Utama, Pusat Kebudayaan UKM serta tokoh muzik terkenal, Datuk Dr Johari Salleh.
Anakanda baginda, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz turut membuat persembahan khas bersama kumpulan okestra dengan lagu ‘Jikalau Ku Tahu’ nyanyian asal P. Ramlee dan Saloma.
Tidak dilupakan persembahan daripada para mahasiswa UKM dalam bentuk nyayian dan tarian tradisional serta artis jemputan iaitu Bob Yusuf dan Atilia yang turut mewarnai acara pada malam itu.
Rata-rata penonton berpuas hati dan teruja apabila menyaksikan persembahan yang disajikan ketika acara tersebut berlangsung.
Bagi Muhammad Fairuz, pelajar Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur, ini ulung kali beliau hadir ke acara ini dan meluahkan rasa puas hati dan kagum terutama dengan persembahan para mahasiswa UKM.
“Bagi saya persembahan mereka memang terbaik kerana saya sebelum ini belum pernah dengar tentang Artisukma UKM dan ada juga yang pernah membuat persembahan di RTM, jadi saya rasa mereka memang terbaik,” katanya ketika ditemubual oleh Portak Berita UKM.
Hidayah Suman, pelajar UKM dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina berkata dia sangat gembira kerana dapat menghadirikan diri ke konsert yang sangat menarik, ditambah pula dengan muzik yang dimainkan oleh kumpulan orkestra yang hebat.
Tambah beliau, konsert ini lebih mirip kepada tradisional berbanding acara muzik lain di UKM.