Konsert DiRaja UKM 2019 Disambut Meriah


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 2 Mei 2019 – Konsert DiRaja UKM 2019 yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) baru-baru ini telah berlangsung dengan meriahnya dengan menampilkan beberapa artis jemputan dan persembahan solo DiRaja.

Konsert yang diiringi oleh pemuzik dari Orkestra Kuala Lumpur (OKL), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diadakan bagi meraikan Hari Keputeraan ke-71, DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir selaku Canselor UKM.

Konsert tersebut juga dipersembahkan sebagai tanda penghargaan tertinggi dan sanjungan warga UKM sempena meraikan Ulang Tahun ke-10 baginda sebagai Canselor UKM ke-3.

Selain dari persembahan artis jemputan iaitu Liza Hanim, Khai Bahar dan Hariz Fayahet (Bintang RTM 2018), turut mencuri tumpuan penonton adalah persembahan khas diraja iaitu persembahan piano oleh Putera Tuanku Muhriz, YAM Tunku Zain Al-‘Abidin yang mempersembahnkan lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Jikalau Ku Tahu.

Beliau mempersembahkan lagu tersebut kepada kedua ayahanda dan bonda beliau, Tuanku Muhriz bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud yang menyambut Ulangtahun Perkahwinan yang ke-45 tahun.

Persembahan itu juga turut didedikasikan kepada kekanda beliau, Tunku Ali Redhauddin yang menyambut kelahiran pada 26 April.

Kumpulan OKL tersebut dibimbing tokoh muzik terkenal tanah air iaitu Profesor Iktisas Pusat Kebudayaan UKM, Dato’ (Dr.) Johari Salleh dan lagu-lagu yang dipilih untuk dipersembahkan telah digubah semula olehnya dan turut dipimpin oleh Pemimpin Okestra, Mohd Isa Ismail.

Seramai 59 orang pemuzik profesional daripada OKL DBKL telah menjayakan konsert tersebut dan diserikan dengan penglibatan kumpulan muzik gamelan, cak lempong dan tarian ARTISUKMA UKM.

Konsert DiRaja UKM diharap menjadi salah satu usaha untuk menerapkan ciri-ciri kesantunan dan budaya murni dalam kalangan warga UKM dan masyarakat.

Turut hadir ke konsert tersebut ialah Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, para pengiring diraja, pegawai tertinggi Universiti, ahli akademik dan pelajar.