Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Siswi Latih Pemikiran Kritis dalam Pemerkasaan Kepimpinan
Oleh: Nurhairani Syam Lahmuddin dan Asmahanim Amir
BANGI, 19 September 2021 – Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Siswi (KPKS) 2021 yang dianjurkan bersama Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) memberi pengalaman baharu kepada pemimpin pelajar terutama bagi melatih pemikiran kritis dalam pemerkasaan kepimpinan.
Konvensyen yang diadakan selama dua hari bermula 18 September dengan tema “Siswi Pengerak Pembangunan Negara” itu bakal membentuk dan melahirkan barisan pemimpin siswi yang kental dan mempunyai sahsiah diri yang yang cemerlang.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik & Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Robiah Yunus berkata cabaran untuk golongan siswi menjadi pemimpin adalah sangat hebat.
“Kita terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk membuktikan kita mampu menjadi pemimpin,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis penutup KPKS 2021.
Dalam ucapannya, beliau mengajak mahasiswi untuk berani berubah ke arah mengembangkan keupayaan dan memastikan penglibatan siswi lebih berkesan dalam pembangunan ekonomi dan juga sosial negara.
Selain itu, katanya, konvensyen yang diadakan itu adalah sangat signifikan khususnya dalam memberikan penghargaan dan pengiktirafan pada mahasiswi yang menjadi tonggak pembangunan negara.
“Program dalam konvensyen ini amat penting dimana setiap sesi interaksi mengulas faktor-faktor yang mendorong mahasiswi untuk menjadi pemimpin. Tema yang dibawakan di setiap sesi juga tidak kurang hebatnya,” katanya.
Beliau yakin perkongsian konvensyen itu memberikan satu pengalaman baharu kepada pemimpin pelajar terutamanya bagi melatih pemikiran kritis dalam pemerkasaan kepimpinan.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata melalui konvensyen tersebut, mahasiswi didedahkan dengan pelbagai aspek kepimpinan melalui topik-topik yang disampaikan oleh ahli panel seperti Siswi sebagai Pemimpin Masa Hadapan; Siswi Cemerlang; Siswi dan Masyarakat; Siswi dan Undang-Undang; Siswi dan Keusahawan; serta Siswi dan Kesihatan. Isu-isu yang dibawa ini juga amat dekat dengan masyarakat Malaysia.
“Konvensyen ini juga menjadi pelantar yang terbaik bagi mahasiswi untuk membina jati diri, mengukuhkan dan mengasah kemahiran insaniah sebagai permulaaan sebelum melangkah ke dunia yang sebenar nanti.
“Saya amat yakin dan percaya, resolusi yang akan diketengahkan melalui konvensyen ini dapat membantu dalam penambahbaikan dasar dan pelaksanaan terhadap isu-isu kepimpinan mahasiswi di peringkat kementerian,” katanya.
Seramai 200 siswi dari semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia menyertai konvensyen itu yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi zoom.
Antara panel yang terlibat dalam KPKS 2021 ialah selebriti tanah air, Dr. Soo Wincci; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ACP Siti Kamsiah Hassan dan Pengasas Telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda.