KPM Sedia Platform Kepada IPGM Jalan Kerjasama Pintar dengan IPT dalam Pelbagai Bidang Pendidikan


Oleh Asmahanim
Foto Ikhwan Hashim

NILAI, 29 Julai 2019 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat julung kalinya menyediakan platform kepada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi menjalin kerjasama pintar dengan pelbagai institusi pendidikan dan latihan tersohor, serta institusi swasta termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam usaha melahirkan bakal guru yang mampu mendepani setiap cabaran yang mendatang.

Kerjasama yang dilakukan itu adalah melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Nota Kerjasama antara Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh KPM dengan universiti dan agensi.

Pemeteraian MoU dan Nota Kerjasama tersebut akan membolehkan IPGM bekerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan, penulisan, latihan, kumpulan pemikir dan konsultasi untuk tempoh lima tahun dan dijelmakan bagi manfaat bersama demi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Dalam hal ini, UKM akan bekerjasama dengan semua IPGM dalam bidang pendidikan dan Genius pintar.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik) KPM, Dato’ Kamel Mohammad berharap, agar usaha dan kolaboratif itu akan membuahkan hasil sebagaimana hasrat, matlamat dan misi yang telah ditetapkan oleh KPM.

“Hal ini amat penting kerana telah menjadi matlamat strategik KPM bagi melonjakkan kecemerlangan IPGM sebagai institusi latihan guru terkemuka dalam pentas antarabangsa dan arena global.

“Saya juga berharap supaya daya usaha ini akan menjadi rujukan, contoh dan model kepada agensi lain di bawah KPM untuk membina jalinan strategik masing-masing dengan pelbagai pihak, sama ada dengan agensi kerajaan, agensi berkepentingan kerajaan mahupun agensi swasta, dari dalam dan luar negara,” katanya.

Antara institusi pendidikan yang terlibat dengan MoU dan Nota Kerjasama ini adalah Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kolej Universiti Islam Melaka dan Pusat Latihan Mengajar & Kemahiran Lanjutan (CIAST).