KPS Celik Futuristik Bantu Pelajar Sekolah Menengah Budayakan Celik Futuristik
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 8 Disember 2022 – Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan Program KPS Celik Futuristik bagi membantu pelajar sekolah menengah dalam merintis dan membudayakan Celik Futuristik.
Program yang dijalankan dengan kerjasama strategik antara UKM, KPS Berhad, Maxis dan Apple telah menghimpunkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama dengan mengadakan pertandingan KPS Celik Futuristik Augmented Reality (Realiti Terimbuh – AR).
Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata kemahiran yang pelajar peroleh dalam program tersebut akan dapat membantu mempersiapkan mereka bagi menjadi graduan yang kalis masa depan dan mempunyai kemahiran merentas revolusi industri ke-4, dunia fizikal, digital, dan biologikal.
“Kerjaya masa depan anda akan terus disruptive, dengan kerjaya seperti robot programmer, augmented reality designer, dan cyrptocurrency analyst,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis KPS Celik Futuristik Augmented Reality Competition, di sini, semalam.
Program tersebut diadakan di ruang pembelajaran yang telah direka bentuk semula agar dapat meningkatkan pembelajaran aktif dan futuristik.
Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah memaklumkan bahawa reka bentuk ruang futuristik tersebut adalah hasil kolaborasi antara UKM dengan Australia Innovative Universities Network.
“UKM dan Australia Innovative Universities Network telah membangunkan kerangka Higher Education Active Learning Spaces (HEALS) yang dijadikan landasan bagi reka bentuk ruang futuristik ini. Moga ruang ini terus dapat menginspirasi pelajar-pelajar untuk terus berinovasi merentas Revolusi Industri ke-4,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kewangan dan Perkhidmatan Korporat KPS Berhad, Suzila Khairuddin berkata matlamat KPS adalah untuk membantu pelajar kurang berkemampuan daripada masyarakat berpendapatan rendah dan asnaf membuat persediaan untuk pekerjaan hari esok.
“Kemajuan teknikal dan set kemahiran mereka (pelajar) akan memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan sosio-ekonomi mereka pada masa hadapan.
“Kami amat gembira apabila keseluruhan 43 peserta telah menunjukkan peningkatan dalam kemahiran teknikal mereka iaitu para peserta menunjukkan tahap kecekapan yang tinggi dalam pembangunan AR, lukisan garisan dan pembangunan animasi,” katanya.
Selain itu, katanya semua peserta menunjukkan keupayaan untuk mencipta adegan AR dengan Komposer Realiti pada iPad serta pemodelan 3D penyepaduan.