KSBM Ukur Standard Penguasaan Bahasa Melayu – Prof Dato’ Dr. Teo Kok Seong


Oleh Melissa Heidi
Foto oleh Izwan Azman

BANGI, 19 April 2017 – Pembangunan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) bagi menentukan tahap pemerolehan dan penguasaan Bahasa Melayu bertujuan untuk mengukur kecekapan dan kemahiran penggunaan Bahasa Melayu di Malaysia, kata Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Dr Teo Kok Seong.

Beliau, yang juga merupakan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Professor Negara berkata pembangunan KSBM itu adalah sebagai satu usaha utama dalam dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan ia adalah satu langkah yang bijak.

“Tidak dapat dinafikan lagi bahawa KSBM adalah kebitaraan dan keperluan Bahasa Melayu yang penting,” katanya semasa menyampaikan Ucap Utama Seminar KSBM dengan tema Pembangunan Kerangka Standard: Kebitaraan Bahasa Melayu, di sini baru-baru ini.

Katanya KSBM yang telah digubal merupakan persediaan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) menjadi rujukan dan juga kerangka untuk Bahasa Inggeris namun masih belum ada piawaian standard untuk Bahasa Melayu.

“Jadi KSBM yang dibangunkan ini akan menjadi piawaian aras kompetensi Bahasa Melayu dalam kalangan penutur Bahasa Melayu seperti Malaysia dimana Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara kita,” katanya semasa merasmikan seminar tersebut.

Seminar tersebut membincangkan isu-isu KSBM dengan perkongsian pendapat dan idea tentang penguasaan kemahiran Bahasa Melayu serta percambahan ilmu tentang kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis.

Seminar itu juga dilihat sebagai salah satu usaha pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai kebitaraan Malaysia selari dengan misi dan visi Kongres Budaya 2017 yang diadakan baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh wakil dari Institut Pendidikan Guru Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional.