KSU Perbendaharaan Akan Kendalikan Program Keusahawanan UKM

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 1 Julai 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mewujudkan program khas keusahawanan yang akan dilaksanakan oleh  Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah bermula sesi 2016/2017.

Beliau berkata program yang akan dikendalikan dalam satu semester itu diwujudkan bagi melahirkan para usahawan yang benar-benar  berminat untuk menubuhkan syarikat sendiri.

“Kita akan membawa mereka (pelajar) bertemu dengan usahawan-usahawan yang pernah gagal sebelum berjaya dan bagaimana usahawan tersebut bangkit semula sehingga mencapai kejayaan dalam perniagaan.

“Mahasiswa boleh menimba pengalaman dengan usahawan-usahawan tersebut seperti bagaimana cara terbaik untuk menghasilkan proposal, bagaimana mencipta idea baru dan bagaimana nak mencari modal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Syarahan Umum Entrepreneurs di sini baru-baru ini.

Beliau berkata sepanjang semester depan, UKM diharapkan dapat mencipta usahawan baru yang berjaya dan mendapat tempat dalam masyarakat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada UKM kerana telah bekerjasama dengan kerajaan dalam menjayakan program ini. Saya adalah salah seorang yang akan terlibat dengan program ini.

“Sumbangan saya adalah dengan memberi maklumat dan bimbingan keusahawanan serta menggilap diri pelajar dari segi kreativiti dan inovasi bagi menjadi insan yang walaupun gagal tetapi boleh bangkit semula dan berjaya,” jelasnya.

Tan Sri Mohd Irwan Serigar berkata itu adalah galakan yang diberikan kepada anak-anak muda supaya mereka berjaya dan mencapai objektif negara untuk terus maju kerana mereka mewarisi kretiviti dan menyumbang kepada produktiviti supaya ekonomi negara terus berkembang.

“Untuk permulaan, kita hanya memilih 30 pelajar yang terbaik bagi menyertai program ini. Kita akan tapis pelajar-pelajar tersebut supaya yang terpilih itu adalah mereka yang benar-benar serius dan kita akan bawa mereka mendaftar syarikat.

“Mereka juga mestilah memasarkan idea mereka dalam bentuk produk atau perkhidmatan kepada orang ramai,” tegas beliau.

Sementara itu, Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali melahirkan rasa gembira kerana 30 pelajar yang terpilih itu akan mendapat bimbingan secara langsung dari Tan Sri Mohd Irwan Serigar dan para usahawan tersohor yang lain.

“Kami berpuas hati yang kursus itu amat inovatif yang mana Ketua Setiausaha Perbendaharaan sendiri yang akan mengendalikan. Maka kita tahu persaingan amat hebat dikalangan pelajar bagi mendapatkan Tan Sri sebagai pengajar.

“Pada pendapat saya ini amat inovatif bagi Tan Sri mencipta format baru  CEO@Faculty dan hari ini sahaja kira-kira 3,000 pelajar datang untuk mendengar syarahan keusahawanan yang disampaikan oleh Tan Sri,” katanya.ukmnewsportal-bm
2