Latihan dan Kerjaya Dalam Insurans untuk Pelajar Sains Aktuari UKM

04
Oleh Radzuan Ghazali
Pix Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 23 November 2015 – Empat pelajar tahun akhir Sains Aktuari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan dipilih untuk program latihan amali oleh AmGeneral Insurance.

Setelah tamat tahun akhir, calon yang berjaya dari Pusat Pengajian Sains  Matematik di Fakulti Sains dan Teknologi (FST) akan ditaja untuk menjalani Program Pengayaan Bakat Sektor Kewangan dengan Bank Negara dan latihan sepenuh masa serta pekerjaan dengan AmGeneral Insurance.

Satu memorandum persefahaman (MoU) untuk program tersebut  ditandatangani oleh Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim.

Dekan FST Prof Dr Sahrim Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif AmGeneral Insurance Derek Roberts bertindak sebagai saksi.

Bercakap kepada pemberita selepas tandatangan perjanjian itu Azman berkata, sebenarnya terdapat kekurangan aktuari yang menjejaskan pertumbuhan industri insurans.

“Perlu ada lebih banyak kerjasama antara sektor swasta dan universiti untuk menyediakan pelajar aktuari bagi kerjaya profesional dalam industri perkhidmatan kewangan.

“Bagaimanapun, masih ada ruang besar untuk pertumbuhan, tetapi bagi  pertumbuhan ini dapat direalisasikan, kita memerlukan sokongan sumber bakat,” jelas Azman.

Kedua-dua sektor awam dan swasta perlu bekerjasama untuk mengubahkan keadaan demi untuk masa depan yang lebih cerah, katanya kepada pemberita.

Azman berkata dengan pertumbuhan pesat dalam industri perkhidmatan kewangan, terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk kemahiran aktuari, yang sangat penting dalam insurans nyawa, am dan insurans semula.

Sementara itu, Prof Noor Azlan dalam ucapannya berkata, MoU ini adalah landasan bagi perkongsian objektif melahirkan bakat berpotensi di kalangan pelajar menerusi latihan, pendidikan dan penyelidikan.

Menurut beliau, UKM adalah antara Universiti pertama di Malaysia yang menawarkan Ijazah Sarjan muda Aktuari yang diiktiraf oleh Persatuan Aktuari (SOA), Amerika Syarikat.

“UKM berbangga bekerjasama dengan AmGeneral dan Kumpulan Ambank bagi melahirkan bakat-bakat  di FST melalui pendedahan dan sokongan kewangan.

Tambah beliau kerjasama antara kedua belah pihak ini menjanjikan pendekatan lebih rapat lagi dan seharusnya kita harus melaksanakan hubungan dalam pelbagai bidang lain.ukmnewsportal-bm
02

03

06