Lebih 600 Alumni UKM Bersantap Bersama Tuanku Canselor


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 12 Dis 2017 – Lebih 600 alumni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari tahun 1973 hingga 2017 julung kalinya berkumpul pada Majlis Santapan Diraja Bersama Alumni UKM 2017 yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) baru-baru ini.

Canselor UKM, DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud mencemar duli ke majlis tesebut.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali dalam ucapannya berkata UKM meletakkan agenda alumni sebagai salah satu agenda penting universiti.

“Universiti perlu terus membina dan mengekalkan jaringan bersama alumni. Universiti juga memerlukan sumbangan idea dan nasihat serta maklum balas yang berguna daripada para alumni dalam usaha memacu UKM ke arah mercu kejayaan.

“Saya percaya ramai dalam kalangan alumni yang berminat dan bersemangat untuk menyumbang kembali kepada universiti melalui perkongsian ilmu dan pengalaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata UKM sekarang sedang membuat persiapan untuk menyambut ulang tahun ke 50 dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Pastinya UKM akan menghadapi cabaran pendidikan tinggi dalam suasana yang berbeza dan lebih mencabar.

“Saya berharap para alumni dapat duduk semeja dan berganding bahu bersama-sama UKM untuk menawarkan nilai pada tahap yang lebih tinggi kepada pembangunan masyarakat dan Negara,” katanya.

Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan berkata keterlibatan alumni dalam menyokong dan memberi sumbangan kepada universiti juga dapat memberi faedah yang amat bermakna dalam memperkayakan pengalaman pelajar.

Pada majlis itu juga, turut diadakan pelancaran logo Majlis Alumni dan penyerahan cek sumbangan daripada para alumni kepada tabung alumni UKM.

Dua orang Pro Canselor UKM, YAM Tunku Laxamana Tunku Dato’ Seri Utama Naqiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid turut hadir ke majlis santapan tersebut.

Antara alumni hebat yang hadir ialah Menteri Pengangkutan Malaysia, Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dan Presiden Cyberjaya University College of Medical Science merangkap Presiden Majlis Alumni UKM, Prof Dato’ Dr Mohamad Abdul Razak.